Am 17/08/2026 03:34 PM

MOSTI Perluas Program Advokasi Nuklear Ke Sekolah Rendah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MOSTI Perluas Program Advokasi Nuklear Ke Sekolah Rendah
Datuk Chang Lih Kang

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhasrat memperluas Program Advokasi Nuklear ke peringkat sekolah rendah menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), bagi meningkatkan kefahaman mengenai teknologi nuklear sejak usia muda.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata pendedahan awal itu penting untuk membentuk kefahaman yang tepat mengenai teknologi nuklear, selain menyemai minat murid terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Beliau berkata kefahaman masyarakat mengenai teknologi nuklear perlu terus diperkukuh, bagi memastikan teknologi itu dinilai berdasarkan manfaat dan aplikasi saintifiknya, bukan hanya dikaitkan dengan senjata atau kemusnahan.

“Apabila disebut nuklear, ramai yang terus terbayangkan risiko dan kemusnahan, sedangkan teknologi nuklear mempunyai pelbagai manfaat dan digunakan dalam banyak bidang termasuk kesihatan, pertanian, industri, tenaga dan alam sekitar. 

“Sebab itu kita mahu masyarakat, khususnya generasi muda, memahami teknologi nuklear berdasarkan fakta dan ilmu pengetahuan, supaya persepsi yang kurang tepat dapat dibetulkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MOSTI hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan Kick Off Advokasi Nuklear kepada Bioeconomy Corporation sebagai rakan strategik, manakala Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara bertindak sebagai rakan pelaksana. 

Chang berkata sehingga kini, Program Advokasi Nuklear telah dilaksanakan di 12 lokasi di seluruh negara, sambil meyifatkan program itu selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, yang menyokong pembangunan dan penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, serta kemajuan negara.

-- BERNAMA