KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari, susulan tekanan jualan dalam kaunter perkhidmatan kewangan, utiliti dan perladangan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.21 mata atau 0.47 peratus kepada 1,727.16 berbanding paras 1,735.37 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.04 mata lebih tinggi pada 1,735.41 dan bergerak antara 1,725.48 hingga 1,738.21 sepanjang sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 593 berbanding 415, manakala 527 kaunter tidak berubah, 1,240 kaunter tidak diniagakan dan 13 kaunter digantung.
Jumlah dagangan mencecah 1.90 bilion unit bernilai RM1.42 bilion.
Dalam satu nota hari ini, Apex Securities Bhd berkata keadaan ekonomi domestik yang berdaya tahan serta minat belian berterusan terhadap saham wajaran tinggi terpilih dijangka terus menyokong FBM KLCI.
“Kaunter teknologi mungkin terus mencatat prestasi lebih baik susulan momentum belian yang berterusan, manakala saham utiliti dan tenaga berkemungkinan kekal menjadi tumpuan, disokong kedudukan defensif dan harga minyak mentah yang lebih tinggi.
“Sementara itu, kaunter perladangan dan REIT dijangka terus lemah selepas prestasinya ketinggalan berbanding pasaran secara keseluruhan,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 10 sen kepada RM10.56, CIMB Group turun lima sen kepada RM7.87, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing berkurangan satu sen kepada RM5.17 dan RM8.34, manakala Tenaga Nasional merosot 14 sen kepada RM14.26.
Bagi kaunter paling aktif, Steel Hawk turun dua sen kepada 11 sen, NationGate susut empat sen kepada RM1.50, Zetrix AI dan GIIB Holdings masing-masing berkurangan satu sen kepada 69.5 sen dan 41.5 sen, manakala Dagang NeXchange turun setengah sen kepada 49.5 sen.
Antara kaunter untung utama, Nestle melonjak RM1.90 kepada RM101.50, SAM Engineering meningkat 24 sen kepada RM4.57, Greatech Technology menokok 12 sen kepada RM2.73, Southern Cable Group naik 11 sen kepada RM2.61, manakala UMS Integration meningkat 10 sen kepada RM7.95.
Bagi kaunter rugi utama, Malaysian Pacific Industries merosot 72 sen kepada RM47.26, United Plantations turun 38 sen kepada RM33.50, Kuala Lumpur Kepong susut 28 sen kepada RM21.56, Petronas Dagangan turun 26 sen kepada RM19.08, manakala Kelington berkurangan 11 sen kepada RM8.59.
Dalam kalangan indeks, Indeks FBM Emas susut 48.10 mata kepada 12,820.37, Indeks FBM Top 100 turun 50.46 mata kepada 12,633.40, Indeks FBM ACE merosot 9.28 mata kepada 5,147.04, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 32.28 mata kepada 18,341.10, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 55.81 mata kepada 12,659.69.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 2.05 mata kepada 767.69, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 83.12 mata kepada 20,336.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.79 mata kepada 187.37 dan Indeks Perladangan turun 87.08 mata kepada 9,433.41.
-- BERNAMA