Am 10/08/2026 09:09 AM

Bersediakah Malaysia Menghadapi Dekad Digital Seterusnya?

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bersediakah Malaysia Menghadapi Dekad Digital Seterusnya?
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mediha Mahmood berucap pada sesi dialog bertajuk "Digital Dependency and Human Autonomy: Mental Wellbeing, Knowledge Integrity and Boundaries in an Always-On Society" sempena International Regulatory Conference (IRC) 2026, hari ini.

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Malaysia mencatat kemajuan besar dalam ketersambungan digital dan penggunaan teknologi sepanjang sedekad lepas.

Bagaimanapun, ramai pakar berpandangan bahawa cabaran negara seterusnya terletak pada usaha membina kepercayaan, keselamatan dan tadbir urus yang bertanggungjawab memandangkan kecerdasan buatan (AI) semakin maju, ancaman siber menjadi lebih canggih serta kemudaratan dalam talian yang kian kompleks.

Perkara itu menjadi intipati utama Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026, yang menyaksikan pengawal selia, penggubal dasar dan pemimpin industri meneroka bagaimana Malaysia boleh kekal kompetitif, inovatif serta berdaya tahan dalam dekad digital akan datang.

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 21 dan 22 Julai lepas, persidangan dua hari itu menghimpunkan pihak berkepentingan global serta tempatan bagi meneliti strategi untuk mengemudi landskap digital yang sedang berkembang.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika merasmikan persidangan itu menekankan pentingnya pengawal selia bertukar pandangan ketika kerajaan berdepan perubahan teknologi yang pantas serta risiko dalam talian yang semakin canggih.

Ketika Malaysia mempercepat langkah menuju dekad digital, barisan panel bersetuju bahawa peraturan perlu berkembang seiring inovasi tanpa menjadi penghalang kepada kemajuan teknologi.

Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Prof Datuk Dr Faiz Abdullah mengingatkan supaya tidak berlaku kawal selia berlebihan memandangkan pasaran  lazimnya berinovasi lebih pantas berbanding kemampuan kerajaan menggubal undang-undang.

Bagaimanapun, beliau mengakui kawal selia kekal diperlukan apabila wujud kemudaratan yang jelas kepada masyarakat, terutamanya dalam aspek keselamatan dalam talian.

Daripada melihat isu berkenaan sebagai pertembungan antara kawal selia dan inovasi, beberapa ahli panel berpendapat kerajaan perlu mengubah pendekatan dalam merangka dasar.

Rakan Kongsi dan Pengarah Urusan Bersama PEMANDU Associates Aida Azmi menarik perhatian bahawa kerajaan dan sektor swasta sering bergerak mengikut garis masa berbeza, dengan pihak industri diberi ganjaran atas kepantasan membawa produk ke pasaran manakala pengawal selia dituntut memastikan dasar yang digubal tepat sebelum dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pembuat dasar supaya menggunakan pendekatan lebih tangkas dan tidak lagi melihat peraturan sebagai dokumen tetap yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dipinda.

“Dasar perlu dibangunkan seperti sesuatu produk,” katanya sambil menegaskan peraturan perlu sentiasa ditambah baik berdasarkan maklum balas serta pengalaman pelaksanaannya dalam keadaan sebenar.

Sama ada perbincangan menyentuh AI, data peribadi mahupun media sosial, ahli panel berulang kali menegaskan bahawa keyakinan awam akhirnya akan menentukan kejayaan penerimaan teknologi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forum Kandungan Malaysia Mediha Mahmood berkata kebimbangan terhadap platform yang digerakkan algoritma mendorong pengawal selia di seluruh dunia meneliti bukan sahaja kandungan berbahaya, tetapi juga sistem yang terus menyarankan bahan serupa kepada pengguna.

“Isunya bukan sekadar kandungan yang ditawarkan, tetapi bagaimana ia disampaikan dan berapa kerap kandungan sama terus disajikan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata ciri seperti video dimainkan secara automatik, tatalan skrin tanpa henti dan cadangan kandungan berdasarkan minat pengguna sememangnya direka untuk meningkatkan interaksi, namun ia boleh memerangkap pengguna dalam 'gelembung' digital yang menyebabkan mereka terdedah kepada pandangan serupa secara berulang kali.

Mediha berkata walaupun platform perlu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, pengguna juga mempunyai tanggungjawab untuk lebih berhati-hati ketika menggunakan platform digital.

Isu perkembangan pesat AI turut mendominasi perbincangan, bukan sekadar mengenai potensinya, tetapi cara teknologi itu perlu dikawal selia termasuk dari aspek keselamatan siber dan perundangan.

Sehubungan itu, Ketua Bahagian Teknologi dan Perkhidmatan Pra-Emptif CyberSecurity Malaysia Fazlan Abdullah memberi amaran bahawa AI menjadikan e-mel pancingan data, penipuan dan video palsu atau “deepfake” semakin sukar dibezakan daripada kandungan sebenar.

“Pihak yang berniat jahat menggunakan AI untuk menyerang anda. Jika anda berada dalam sesebuah organisasi atau kerajaan, anda perlu menggunakan AI untuk mempertahankan diri daripada serangan AI,” katanya sambil menggesa organisasi mengambil langkah keselamatan siber secara proaktif dan tidak hanya memikirkan soal keselamatan selepas sesuatu produk atau sistem dilaksanakan.

Dalam konteks serantau, Pegawai Kanan Bahagian Ekonomi Digital Sekretariat ASEAN Hazremi Hamid berkata AI tidak boleh dikawal selia dengan berkesan sekiranya setiap negara bertindak secara bersendirian kerana data, perkhidmatan digital dan ancaman dalam talian merentasi sempadan.

Beliau berkata ASEAN sedang berusaha membangunkan prinsip bersama berkaitan tadbir urus AI, pengurusan data dan perkongsian maklumat, sambil mengambil kira tahap pembangunan digital yang berbeza antara negara anggota.

Bagi Malaysia, komitmen itu dizahirkan melalui rangka kerja menyeluruh termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI yang sedang dirangka, penubuhan Pejabat AI Kebangsaan pada Disember 2024 serta Institut Keselamatan AI Malaysia (MY-AISafe) bertujuan membentuk kerangka kawal selia berasaskan risiko bagi menggalakkan inovasi sambil melindungi kepentingan orang awam.

Selain itu, pakar turut menegaskan kerangka berkenaan perlu kekal fleksibel supaya dapat disesuaikan dengan perkembangan teknologi yang pantas.

Sepanjang 10 sesi dialog yang diadakan, perbincangan menekankan keperluan mempersiapkan masyarakat mendepani masa depan digital, dengan ahli panel berpendapat bahawa daya saing negara bergantung pada kemampuan rakyat bukan sahaja menggunakan teknologi baharu, tetapi mengendalikannya secara selamat dan bertanggungjawab.

Walaupun sebahagian besar persidangan membincangkan algoritma, peraturan dan AI, mesej utamanya tetap jelas iaitu teknologi mesti terus memberi manfaat kepada manusia, dan bukannya manusia yang tunduk kepada teknologi.

-- BERNAMA