IPOH, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan MADANI terus memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan apabila 120 keluarga setinggan di sekitar Sungkai dan Kuala Bikam diberi geran tanah berikutan isu penempatan dihadapi mereka selama lebih 40 tahun.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam kenyataan berkata penyelesaian isu berkenaan merupakan bukti bahawa pentadbiran Kerajaan MADANI sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan status sosial.
“Masalah setinggan yang berlarutan lebih 40 tahun kini akhirnya dapat diselesaikan. Malam ini, 120 keluarga menerima geran tanah yang menjadi simbol masa depan yang lebih terjamin untuk mereka dan generasi akan datang,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Nga yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP berkata demikian ketika menyampaikan geran tanah kepada penerima pada jamuan makan malam anjuran DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai, malam ini yang dihadiri lebih 1,200 tetamu daripada pelbagai kaum.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri Datuk A. Sivanesan serta seluruh penjawat awam yang bekerja keras dan berdedikasi dalam memastikan penyelesaian isu berkenaan.
Nga berkata komitmen Kerajaan MADANI terhadap masyarakat India turut dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk peruntukan RM20 juta kepada perkampungan India, RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta peningkatan peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada RM150 juta.
“Ini adalah antara bukti bahawa Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa berusaha membina Malaysia yang inklusif, adil dan saksama, dengan prinsip bahawa tiada siapa yang tertinggal dan tiada siapa yang terpinggir,” katanya.
Dalam pada itu, Nga turut menyeru rakyat untuk menilai prestasi dan hasil sebenar yang telah dicapai oleh kerajaan dan tidak terpengaruh dengan sebarang sentimen perkauman.
“Jangan kita benarkan prestasi kalah kepada persepsi. Negara kita memerlukan politik baharu yang membina, bukannya politik usang yang membinasakan.
"Politik masa depan mestilah berteraskan kepada perpaduan, prestasi berkhidmat, pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Turut hadir pada majlis makan malam ulang tahun ke-60 DAP Sungkai itu ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How, ADUN Buntong M. Thulsi, ADUN Malim Nawar V. Bavani serta ADUN Astaka Jason Ng Thien Yong.
-- BERNAMA