Dunia 02/08/2026 02:58 PM

Somalia, Agensi PBB Meterai Peraturan Baharu Galak Penyusuan Susu Ibu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Somalia, Agensi PBB Meterai Peraturan Baharu Galak Penyusuan Susu Ibu
Logo UNICEF. -- Imej diambil dari halaman Facebook UNICEF.

MOGADISHU (Somalia), 2 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Somalia, bersama UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), secara rasmi menandatangani dan melancarkan Peraturan Pengganti Susu Ibu (BMS) kebangsaan pada Sabtu untuk mengawal ketat pemasaran formula dan melindungi kesihatan kanak-kanak di seluruh negara, lapor Xinhua.

Peraturan yang ditandatangani semasa permulaan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026 peringkat kebangsaan, menandakan pencapaian penting bagi Somalia dan mengukuhkan komitmen negara untuk melindungi, mempromosikan dan menyokong penyusuan susu ibu.

Ali Haji Adam, menteri kesihatan dan perkhidmatan manusia Somalia, berkata penyusuan susu ibu adalah salah satu intervensi paling berkesan untuk memastikan kanak-kanak terus hidup, membesar dan berkembang maju.

Adam berkata pemeteraian Peraturan BMS menandakan kejayaan bersejarah dalam usaha Somalia untuk melindungi, menggalakkan dan menyokong penyusuan susu ibu serta melindungi hak setiap kanak-kanak untuk permulaan terbaik dalam kehidupan.

Pencapaian ini berlaku apabila Somalia menyertai komuniti global dalam melaksanakan Minggu Penyusuan Susu Sedunia (1-7 Ogos) di bawah tema "Breastfeeding for a Sustainable Start in Life: Strengthen What Works."

Wakil WHO ke Somalia, Kamil Mohamed, mengesahkan komitmen berterusan WHO untuk membantu Somalia melaksanakan dasar berasaskan bukti dan mengukuhkan sistem kesihatan untuk melindungi, menggalakkan dan menyokong amalan pemakanan bayi yang optimum.

Wakil UNICEF ke Somalia, Sandra Lattouf, menyifatkan penggunaan peraturan BMS sebagai langkah utama ke arah melindungi penyusuan susu ibu, dengan menyatakan bahawa pemakanan bayi yang optimum memberikan imuniti penting dan menyelamatkan nyawa anak kecil.

-- BERNAMA-XINHUA