Am 31/07/2026 07:28 PM

Noor Hazlina Dilantik Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa USM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Noor Hazlina Dilantik Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa USM
Kredit: USM

GEORGE TOWN, 31 Julai (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) melantik Prof Datin Dr Noor Hazlina Ahmad sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa baharu berkuat kuasa 3 Ogos ini, menggantikan Prof Datuk Gs Dr Narimah Samat yang menamatkan tempoh perkhidmatannya.

USM memaklumkan Noor Hazlina yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan, inovasi, kepimpinan dan pembangunan organisasi memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Keusahawanan dari University of Adelaide, Australia, selain Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari USM dan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Psikologi) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

"Beliau merupakan Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM sejak 2019 dan menerajui pelbagai transformasi strategik yang memperkukuh kecemerlangan akademik, pengantarabangsaan serta kemampanan institusi, termasuk memperkenalkan program Sarjana Analitik Perniagaan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Sarjana Pengurusan Profesional dengan kerjasama Majlis Peguam Malaysia," menurut kenyataan itu.

USM memaklumkan Noor Hazlina turut menjalin kerjasama eksklusif dengan Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Mesir bagi membangunkan bakat kepimpinan digital pelajar terbaik negara itu sejak 2022, selain menerajui pelbagai inisiatif pembelajaran fleksibel seperti program luar pesisir, Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL), mikrokredensial serta Stackable Degree, termasuk pembangunan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) berasaskan mikrokredensial bersama QSR Brands dan penerokaan program Sarjana Pengurusan Berpandu Kecerdasan Buatan.

Di peringkat antarabangsa, Noor Hazlina merupakan Presiden Asian Academy of Management (AAM) bagi penggal 2025–2027 dan telah memperkukuh jaringan akademik melibatkan universiti serta organisasi di Asia, Eropah dan Timur Tengah dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat serta mobiliti akademik.

Beliau juga menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara melalui pelbagai jawatankuasa strategik termasuk sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja Pelaburan Strategik dalam Pendidikan di bawah Kajian Reformasi Pendidikan Kebangsaan yang diterajui Akademi Sains Malaysia serta pembangunan Piawaian Pengurusan Inovasi Malaysia berasaskan siri ISO 56000.

Menurut USM, pelantikan Noor Hazlina diyakini akan memperkukuh agenda akademik dan pengantarabangsaan universiti itu menerusi pemerkasaan inovasi pendidikan, peluasan jaringan kerjasama global, peningkatan kebolehpasaran graduan serta mengukuhkan kedudukan USM sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka di peringkat dunia.

-- BERNAMA