Am 29/07/2026 09:25 AM

Pomelo Jelebu: Dari Bayang-bayang Durian Kepada Potensi Ikon Baharu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pomelo Jelebu: Dari Bayang-bayang Durian Kepada Potensi Ikon Baharu

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

JELEBU, 29 Julai (Bernama) --  Apabila menyebut Jelebu, Negeri Sembilan, ramai mungkin terbayangkan dusun durian yang menghijau di sebalik bukit dan lembah daerah itu.

Namun, di sebalik populariti raja buah berkenaan, Jelebu sebenarnya menyimpan satu lagi potensi pertanian yang mungkin belum begitu dikenali iaitu limau pomelo, buah citrus berkulit tebal yang selama ini lebih sinonim dengan Tambun, Perak.

Dengan tanah berbukit dan keadaan cuaca yang sesuai, Jelebu dilihat berpotensi muncul sebagai antara kawasan pengeluaran pomelo berkualiti di negara ini, menerusi penyelidikan serta pembangunan varieti tempatan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Lebih daripada sekadar tanaman alternatif, pomelo kini mula membuka ruang baharu kepada usahawan dan pekebun tempatan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan, sekali gus mengubah landskap pertanian Jelebu yang selama ini lebih dikenali sebagai pengeluar durian.

Di kawasan tanaman MARDI Jelebu seluas kira-kira lapan hektar di Simpang Durian, lebih 600 pokok pomelo kini tumbuh subur, dengan pengeluaran antara 12,000 hingga 13,000 biji buah bagi setiap pusingan tuaian.

Dengan harga pasaran semasa sekitar RM7 hingga RM8 sekilogram serta permintaan yang terus menggalakkan, buah berkulit tebal itu dilihat mempunyai ruang besar untuk dikembangkan sebagai komoditi bernilai tinggi.

Pengurus MARDI Jelebu Noraimi Nordin berkata pomelo mempunyai kelebihan tersendiri berbanding tanaman lain kerana lebih mudah diurus, kurang terdedah kepada ancaman perosak dan mampu mengeluarkan hasil hampir sepanjang tahun.

“Ramai mengenali Jelebu dengan durian, tetapi kawasan ini juga sangat sesuai untuk pomelo. Berbanding tanaman lain, pomelo lebih mudah dijaga dan ancaman utamanya hanya lalat buah, manakala gangguan daripada monyet atau babi hutan tidak ketara.

“Itu menjadikan kos penyelenggaraannya lebih terkawal. Selepas rawatan awal dan penggunaan racun serangga dapat diminimumkan, sekali gus membantu menghasilkan buah lebih berkualiti. Sebab itu, kita mahu lebih ramai usahawan melihat potensi tanaman ini dan bukan hanya bergantung kepada satu komoditi sahaja," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Di kawasan tanaman MARDI Jelebu, setiap buah pomelo mempunyai purata berat antara 1.3 kilogram hingga hampir dua kilogram dan dibungkus satu persatu, bagi memastikan kulitnya kekal licin serta bebas daripada kesan serangga sebelum dituai.

Bukan sekadar menguji kesesuaian tanah dan cuaca, MARDI turut giat membangunkan varieti tempatan Melomas (P056), yang mempunyai isi lebih manis dan berjus serta sesuai dipasarkan sebagai buah segar.

Lebih 200 pokok varieti berkenaan dijangka sedia dituai pada musim tuaian Ogos, sekali gus menjadi antara hasil penyelidikan yang diharapkan dapat memperluas pilihan tanaman komersial di daerah itu.

Noraimi berkata perjalanan untuk melihat hasil daripada tanaman pomelo, bukanlah sesuatu yang boleh dinikmati dalam sekelip mata, kerana pokok itu lazimnya mula berbuah selepas tiga hingga empat tahun, manakala hasil terbaik hanya dapat dituai apabila mencapai usia antara lima hingga tujuh tahun.

Namun, tempoh menunggu itu disusuli dengan kelebihan apabila pengeluaran buah tidak terlalu bergantung kepada musim.

“Kerja pemangkasan membolehkan pengeluaran dirancang, sekali gus memberi fleksibiliti kepada pekebun untuk menyusun jadual tuaian mengikut keperluan pasaran, termasuk menjelang sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

MARDI kini memberi tumpuan melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang berkenaan menerusi penyediaan benih, latihan teknikal dan khidmat nasihat, memandangkan tanaman pomelo masih belum mendapat perhatian meluas di Negeri Sembilan.

“Kita mahu orang nampak bahawa pomelo ini ada nilai komersial. Bila mereka tahu ia mudah dijaga, boleh dirancang pengeluarannya dan mempunyai permintaan yang baik, saya yakin lebih ramai akan berani mencubanya.

“Harapan kita, suatu hari nanti apabila orang menyebut Jelebu, mereka bukan sahaja ingat durian, tetapi juga pomelo berkualiti yang dihasilkan di sini,” katanya.

Potensi itu dilihat mampu membuka lembaran baharu kepada pembangunan ekonomi Jelebu, dengan memberi lebih banyak pilihan kepada usahawan dan pekebun untuk menceburi sektor agromakanan bernilai tinggi, selain terus bergantung kepada komoditi sedia ada seperti durian.

Dengan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Jelebu iaitu Chennah, Pertang, Klawang dan Sungai Lui yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, pembangunan sektor agromakanan termasuk tanaman pomelo boleh menjadi antara bidang yang diberi perhatian bagi merancakkan ekonomi luar bandar.

Keempat-empat kerusi itu bakal menjadi tumpuan pada hari pengundian 1 Ogos ini, dengan DUN Chennah menyaksikan pertandingan satu lawan satu, manakala Pertang, Klawang dan Sungai Lui menyaksikan saingan tiga penjuru.

-- BERNAMA