RM50 Juta Diperuntuk Laksana Projek Cat Flat Awam, Swasta Di Johor
JOHOR BAHRU, 20 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM50 juta bagi menjalankan kerja-kerja mengecat flat kos rendah, flat kos sederhana rendah swasta serta flat awam di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata inisiatif berskala besar untuk kesejahteraan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah itu merangkumi 170 blok perumahan melibatkan 11,693 unit kediaman di 26 lokasi strategik.
Beliau berkata usaha itu dijangka memberi manfaat langsung kepada hampir 46,772 penduduk, sekali gus menjadi pemangkin kepada transformasi landskap sosial komuniti setempat.
"Kerja mengecat mungkin dilihat sebagai pembaikan luaran, namun kesannya jauh lebih besar kepada komuniti.
"Bangunan yang bersih, ceria dan terurus mampu mewujudkan suasana tempat tinggal yang lebih selesa, meningkatkan semangat kejiranan serta memberi keyakinan penduduk bahawa kebajikan mereka sentiasa dalam perhatian kerajaan negeri," katanya menerusi hantaran Facebook.
Mohd Jafni yang meninjau projek mengecat Pangsapuri Desa Muafakat bersama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini berkata segala pelaksanaan projek mengecat bagi flat terlibat akan diselaraskan dan diurus oleh agensi berkaitan.
Agensi terbabit ialah Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, selain kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).
Selain projek mengecat di flat, beliau berkata pihaknya bersama Menteri Besar turut meninjau kemajuan pembinaan Tabika KEMAS Bangsa Johor yang sedang dilaksanakan di kawasan Pangsapuri Desa Muafakat.
“Selain itu, taklimat turut diberikan berhubung isu mendapan cerun berhampiran tempat letak kenderaan serta kerosakan jalan di dalam kawasan pangsapuri,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Mohd Jafni berkata semua agensi pelaksana dan kontraktor yang dilantik diingatkan agar memikul tanggungjawab penuh terhadap mutu kerja, aspek keselamatan serta kebersihan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
"Kita tidak mahu projek yang sekadar nampak cantik ketika siap, tetapi cepat rosak atau menimbulkan masalah baharu kepada penduduk selepas itu. Setiap kerja mesti dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Tang Jie-Clarissa Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka China
- Tabung Haji Muncul Sebagai Pemegang Saham Utama Dalam Focus Point
- Kerajaan Naikkan Kadar Sara Dalam Tempoh Terdekat - Anwar
- Kerajaan Perpaduan Kekal Stabil - PM Anwar
- Trump Beri Amaran AS Akan Bom Jambatan, Loji Jana Kuasa Iran Jika Kapal Diserang