Inisiatif Kerajaan Johor Tepati Keperluan Kos Sara Hidup Mahasiswa KUYPJ
KOTA TINGGI, 14 Julai (Bernama) -- Mahasiswa Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ) menyifatkan pelbagai bantuan dan inisiatif yang disalurkan Kerajaan Negeri Johor sebagai langkah tepat dalam membantu mereka menghadapi cabaran kos sara hidup, selain memenuhi keperluan pembelajaran pada masa kini.
Bantuan kewangan, kemudahan digital dan sokongan kebajikan dalam usaha memperkasa agenda pendidikan tinggi negeri itu, antaranya meliputi Biasiswa Bangsa Johor dan Bantuan Laptop Siswa Johor kepada yang layak, Perkhidmatan WiFi Premium Maju Johor, Bantuan Pendaftaran IPT serta Insentif Mahasiswa Anak Johor yang diberikan kepada semua penuntut.
Usaha kerajaan negeri tidak terhenti di situ apabila aspek pembangunan turut diberi perhatian dengan peruntukan RM5.76 juta dalam usaha meningkatkan infrastruktur institusi berkenaan.
Mahasiswa semester lima Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Muhammad Alif Aiman Shahruddin, 20, berkata kemudahan WiFi percuma secara meluas di kampus membantu mengurangkan perbelanjaan data Internet yang perlu ditanggung mereka.
“Macam saya sendiri, untuk data Internet saya perlu bayar antara RM30 hingga RM50 sebulan, dengan adanya WiFi percuma ini, ia dapat mengurangkan kos dan penggunaan data bulanan,” katanya kepada Bernama.
Mahasiswa semester lima Diploma Pengurusan Sumber Manusia Mohamad Putera Riliansah Mohd Ridzwan Syivester Gutil, 20, pula berkata pemberian Insentif Mahasiswa Anak Johor sedikit sebanyak membantu mereka menampung perbelanjaan harian.
“Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, bagi orang luar jumlah RM200 itu mungkin kecil tetapi besar untuk kami kerana sedikit sebanyak dapat menampung wang untuk beli makan dan minum,” katanya.
Beliau berkata bantuan disalurkan termasuk pendaftaran IPT bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah memberi motivasi kepada mahasiswa untuk terus fokus dalam pengajian.
Mahasiswa semester empat Diploma Sumber Manusia Shaiful Amri Shaiful Anuar, 21, berkata pelbagai inisiatif yang diusahakan kerajaan negeri bagi menyokong keperluan mereka, sekali gus memastikan kemenjadian mahasiswa dengan mewujudkan persekitaran pengajian yang lebih kondusif.
Beliau berkata pendekatan itu juga akan menjadi pemangkin dalam usaha menaik taraf institusi itu menjadi Universiti Johor menjelang 2029.
“Saya percaya transformasi KUYPJ ini akan memberikan peluang kepada anak-anak Johor untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan melahirkan graduan berdaya saing,” katanya.
Warga pendidik pula menyifatkan peruntukan pembangunan berkenaan sebagai pelaburan strategik yang amat penting dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran dan pembangunan institusi berkenaan.
Pensyarah Pengajian Islam Abdul Halim Abdul Ghaffar berkata penambahbaikan infrastruktur mampu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada seluruh warga kampus.
“Kemudahan moden seperti bilik darjah pintar, makmal praktikal dan kemudahan sukan membantu menyokong pembangunan akademik, sahsiah serta kesejahteraan mahasiswa secara menyeluruh.
“Pada masa sama, ia meningkatkan pengalaman pembelajaran dan imej institusi sebagai pusat pendidikan tinggi progresif,” katanya yang telah 11 tahun berkhidmat.
Pensyarah Pengurusan Nur Syazana Samsuden yang juga telah berkhidmat selama 11 tahun berkata sumbangan kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan berkualiti untuk mahasiswa adalah seiring dengan keperluan industri.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan industri yang diterapkan membolehkan graduan lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar. Kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi juga membuktikan graduan KUYPJ mempunyai tahap kompetensi dan profesionalisme yang diyakini pihak industri,” katanya.
Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM5.76 juta bagi tujuan pembangunan KUYPJ yang merangkumi RM3.8 juta untuk menaik taraf Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan dalam memastikan persekitaran pembelajaran kondusif, termasuk penyediaan bilik industri makanan dan minuman (F&B) serta bilik darjah pintar.
Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi memperkasa infrastruktur digital dalam menyokong pembelajaran berasaskan teknologi termasuk platform e-pembelajaran dan pengurusan data akademik.
Sementara RM200,000 pula diperuntukkan bagi tujuan menaik taraf dewan dan studio serta RM263,000 untuk menaik taraf padang bola sepak, kemudahan riadah dan prasarana sukan yang lengkap.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Tang Jie-Clarissa Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka China
- Tabung Haji Muncul Sebagai Pemegang Saham Utama Dalam Focus Point
- Kerajaan Naikkan Kadar Sara Dalam Tempoh Terdekat - Anwar
- Kerajaan Perpaduan Kekal Stabil - PM Anwar
- Trump Beri Amaran AS Akan Bom Jambatan, Loji Jana Kuasa Iran Jika Kapal Diserang