10/07/2026 12:33 PM

KPM Nilai Tahap Keselamatan Sekolah Dan IPG Berasaskan Data, Pemantauan Serta Audit

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ukuran keberkesanan yang berasaskan data, pemantauan, audit serta pematuhan kepada peraturan dan prosedur yang ditetapkan digunakan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menilai tahap keselamatan sebenar di sekolah dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG).

KPM memaklumkan pada peringkat sekolah, Jemaah Nazir melaksanakan penilaian keberkesanan keselamatan berdasarkan tujuh indikator utama, antaranya analisis trend kehadiran murid bagi tempoh tiga tahun, data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), dapatan soal selidik Student Voice dan Teacher Voice dan pemeriksaan mengejut.

Penilaian turut melibatkan keberkesanan jalinan kerjasama sekolah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan alumni, serta pemerhatian terhadap aspek keselamatan fizikal sekolah dan keberfungsian sistem kamera litar tertutup (CCTV).

“Indikator-indikator ini membolehkan KPM memperoleh gambaran menyeluruh mengenai tahap keselamatan sebenar sesebuah sekolah,” menurut KPM dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar), yang mahu KPM menyatakan tentang ukuran keberkesanan yang digunakan untuk menilai tahap keselamatan sebenar di sekolah dan IPG.

Menurut KPM, tahap keselamatan sekolah juga dinilai secara berterusan setiap tahun menerusi Sistem Penarafan Keselamatan Sekolah (SPKS), yang melibatkan penilaian kendiri merangkumi enam aspek utama, iaitu Pengurusan Aktiviti Murid, Pengurusan Keselamatan Infrastruktur, Pengurusan Sosial, Pengurusan Krisis dan Bencana, Pengurusan Risiko serta Pengurusan Perkhidmatan Pengawal Keselamatan.

Dapatan daripada penilaian berkenaan digunakan untuk mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan, dan seterusnya membolehkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menyalurkan bimbingan dan sokongan yang bersesuaian kepada sekolah.

Bagi IPG pula, tahap keselamatan dinilai berdasarkan pematuhan terhadap Peraturan Pelajar IPG serta pelaksanaan aktiviti dan kursus mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Mulai 16 April lepas, Pengelolaan Kursus Aktiviti Luar Berdasarkan Modifikasi Pelaksanaan Maklumat Kursus telah diguna pakai di semua kampus IPG, dan pelaksanaannya dipantau menerusi pematuhan terhadap Maklumat Kursus, Panduan Pentaksiran Amali, Buku Panduan Pelaksanaan Aktiviti Pelajar IPG KPM serta surat pekeliling ikhtisas yang berkuat kuasa.

“Pematuhan ini menjadi antara ukuran penting dalam memastikan pengurusan risiko, disiplin dan keselamatan pelajar sentiasa berada pada tahap yang baik,” menurut KPM.

-- BERNAMA