Penduduk Pulau Sibu, Pulau Tinggi Nikmati Infrastruktur Telekomunikasi Lebih Baik
Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
MERSING, 9 Julai (Bernama) -- Penduduk Pulau Sibu, Mersing yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh kini menikmati jaringan Internet yang lebih baik, meluas dan stabil.
Pengusaha kedai runcit Ainon Rajab, 48 berkata keadaan itu susulan usaha penambahbaikan secara berterusan yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan agensi berkaitan.
“Infrastruktur telekomunikasi dan kemudahan digital yang semakin baik memudahkan urusan harian penduduk.
“Dahulu, terdapat rumah yang susah mendapat rangkaian. Kalau cuaca buruk atau selepas ribut, talian Internet sentiasa hilang menyebabkan penduduk terputus hubungan dengan keluarga yang tinggal di tanah besar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ainon berkata capaian Internet semakin baik selepas pembinaan pencawang telekomunikasi baharu beberapa tahun lepas serta beberapa penambahbaikan infrastruktur lain oleh agensi di bawah Kementerian Komunikasi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Johor.
“Liputan telekomunikasi yang lebih baik juga memberi kesan positif kepada proses pembelajaran anak kerana dapat mengikuti pembelajaran secara maya seperti tuisyen dalam talian yang dikendalikan oleh guru,” katanya.
Ketua Kampung Pulau Tinggi Rossana Hussin, 57, juga bersetuju bahawa kualiti capaian Internet di pulau tersebut yang semakin bertambah baik berbanding sebelum ini, sekali gus memberikan pelbagai kemudahan kepada penduduk.
Pulau Sibu dan Pulau Tinggi yang terletak dalam DUN Tenggaroh ialah sebahagian daripada Taman Laut Sultan Iskandar, iaitu kawasan khas perlindungan bagi hidupan marin.
Sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
N33 Tenggaroh: 39,001 pengundi
1. Muhamad Amerul Muhamad (PN-Bersatu)
2. Mohd Youzaimi Yusof (BN-UMNO)
3. Md Yusof Dawam (PH-PKR)
(2022: K. Raven Kumar :BN-MIC : Maj: 1,356)
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- RHB Investment Bank Kekalkan Unjuran Pertumbuhan IPI 2026 Pada 4.9 Peratus
- NSM: Malaysia Perlu Ambil Tindakan Undang-undang, Diplomatik Terhadap Norway - Ahmad Zahid
- Kerajaan Kaji Hukuman Lebih Berat Kes Pencemaran Marin
- Prestasi Kerja Meningkat Selepas Laksana Aturan Kerja Fleksibel - KESUMA
- Sukarelawan Orang Asli Terlibat Sar Jaslinda Terima Sijil Penghargaan JBPM Perak