01/07/2026 10:04 PM

JKPTG Laksana Program Sekolah, Kampung Angkat MADANI Di Temerloh

KUANTAN, 1 Julai (Bernama) -- Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) melaksanakan Program Sekolah Angkat dan Kampung Angkat MADANI di Temerloh, sebagai satu inisiatif pembangunan komuniti yang memberi manfaat terus kepada masyarakat setempat.

JKPTG dalam kenyataan memaklumkan program berkenaan, masing-masing dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Telok Ira dan Kampung Telok Ira, Mukim Bangau dengan Majlis Penandatangan Perjanjian disempurnakan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja naik taraf di Sekolah Kebangsaan Telok Ira dan Kampung Telok Ira akan mula dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik bermula Julai 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada Nov 2026.

“Bagi warga Sekolah Kebangsaan Telok Ira, program ini diharap dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa, ceria dan kondusif.

“Kemudahan yang ditambah baik bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah turut menyokong guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, projek di Kampung Telok Ira pula memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk melalui penambahbaikan fasiliti komuniti, yang diharap membuka ruang kepada aktiviti masyarakat, khususnya melibatkan anak muda bagi menyokong kesejahteraan fizikal dan mental mereka.

Pelaksanaan Program Sekolah Angkat dan Kampung Angkat MADANI di Temerloh itu, merupakan projek kali kedua di bawah penyelarasan JKPTG, selepas kejayaan pelaksanaan program sama di Kota Bharu, Kelantan pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA