Kafe Santai D'sungai Derga Tawar Pengalaman Menjamu Selera Sambil Belayar
Oleh Norhidayyu Zainal
ALOR SETAR, 1 Julai (Bernama) -- Sebelum ini menjamu selera sambil belayar lebih sinonim dengan pelayaran di lautan, namun kini pengalaman itu boleh dinikmati di Sungai Derga di sini.
Tanpa perlu lagi merentas jauh ke negara jiran, Kafe Santai D’Sungai Derga yang terletak berhampiran mercu tanda ikonik Masjid Zahir dan Aman Central menawarkan hidangan pelbagai sajian tempatan sambil menikmati panorama sungai dan kehijauan alam.
Diusahakan oleh Mazura Jaafar, 46, sejak Ogos 2024, kafe yang pertama seumpamanya di Kedah itu diinspirasikan daripada restoran terapung di Thailand namun disesuaikan mengikut persekitaran tempatan.
"Orang selalu dengar cruise (belayar) di laut, jadi kami fikir kenapa tidak cipta pengalaman yang sama di sungai? Perjalanan santai sejauh kira-kira lima kilometer selama satu jam ini memberi peluang kepada pengunjung menikmati suasana berbeza sambil menjamu selera," katanya kepada Bernama.
Ditemui pada program Surreal Experience in the North Kedah & Perlis anjuran Tourism Malaysia Wilayah Utara baru-baru ini, anak jati Kedah itu berkata perkhidmatan tersebut bukan sahaja menarik perhatian orang tempatan bahkan pelancong asing termasuk dari Australia, England dan China.
Mazura berkata kebanyakan mereka teruja apabila menyaksikan sungai kecil di tengah bandar raya boleh dijadikan produk pelancongan, malah perkhidmatan itu mampu disediakan sehingga tujuh perjalanan sehari pada waktu biasa dan meningkat kepada 18 perjalanan semasa penganjuran acara khas.
Dengan menggunakan dua jenis bot iaitu SD Cruise yang mampu membawa sehingga 15 penumpang dan MJ Cruise berkapasiti 30 penumpang dalam satu-satu masa, beliau berkata kedua-duanya dibina sendiri oleh suami dan anak-anaknya.
"Mereka (pelancong) tidak sangka sungai kecil seperti ini boleh menjadi tarikan pelancongan. Bagi kita, sungai dan kawasan sekitar ini mungkin biasa sahaja tetapi bagi orang luar ia satu pengalaman berbeza," katanya yang juga pemilik restoran Teruna Ikan Bakar di Jalan Langgar, di sini.
Tidak sekadar menawarkan pengalaman menikmati hidangan bersama keluarga, beliau berkata konsep itu turut menjadi pilihan pelanggan untuk pelbagai aktiviti berkumpulan antaranya, sambutan hari lahir, mesyuarat, makan tengah hari dan kuliah agama.
Bagi menambah kelainan, Mazura turut menganjurkan acara bermusim Floating Market atau Pasar Terapung setiap tiga bulan sekali yang menghimpunkan pelbagai vendor makanan, sekali gus memberi lebih banyak pilihan serta suasana berbeza kepada pengunjung.
"Kalau datang hanya untuk makan di kawasan restoran, pelanggan boleh datang terus tetapi untuk menaiki cruise, mereka perlu membuat tempahan awal bagi mengelakkan pertindihan. Restoran ini beroperasi setiap hari kecuali Selasa dari 3 petang hingga 11 malam," katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata berusia antara enam hingga 25 tahun itu berkata usaha memperkenalkan konsep berkenaan pada awalnya tidak terlepas daripada kritikan sinis masyarakat setempat dan cabaran lain.
Mazura berkata pihaknya mengambil masa hampir setahun untuk menyelesaikan urusan permit operasi sungai dengan pelbagai agensi termasuk Lembaga Sumber Air Negeri Kedah yang melibatkan kos lebih RM2,000 setahun dan perlu diperbaharui setiap tahun.
"Ada yang kata siapa hendak naik cruise di sungai kecil dan mengejek kononnya pengunjung akan tengok biawak sahaja.
"Suami saya rasa kecewa apabila membaca komen negatif selepas penat membina bot itu. Namun, kami terus konsisten menghasilkan kandungan di TikTok setiap hari dan akhirnya orang mula datang," katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Cadangan Pembangunan BEZ Malaysia-Thailand Akan Dirunding Secara Dua Hala
- Sindiket Curi Lori Bonded Tumpas, 7 Termasuk Dalang Ditahan - JSJ
- 7,787 Isi Rumah Raih Manfaat Program IPR Sejak Pelaksanaan Hampir Tiga Tahun
- Jentera PH Tidak Gentar Dengan Arahan PAS Sokong BN
- JaPEN Perkukuh Pendekatan Digital, Kekal Komunikasi Bersemuka Sampaikan Maklumat