30/06/2026 03:17 PM

Suhaizan Optimis Rampas Semula Larkin, Harap Pengundi Keluar Beramai-ramai

JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin Suhaizan Kaiat optimis mampu merampas semula kerusi berkenaan daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan trend pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang membuktikan BN boleh ditewaskan di kawasan berkenaan sekiranya peratusan keluar mengundi tinggi.

“Keputusan PRN Johor 2022 yang memihak kepada BN tidak boleh dijadikan kayu pengukur mutlak memandangkan kadar keluar mengundi ketika itu sekadar 51 peratus akibat kekangan pandemik COVID-19.

“Gambaran sebenar adalah pada PRU, kalau peratusan keluar mengundi (PRN) kali ini lebih baik, maka peluang kita (menang) lebih besar," katanya kepada Bernama selepas menyantuni pengundi di sekitar DUN Larkin, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pulai itu turut berpandangan sokongan daripada penyokong Bersatu berpotensi beralih kepada PH, susulan kemelut politik yang melanda hubungan parti itu dengan PAS.

Suhaizan berkata faktor sejarah kerjasama PH dan Bersatu dalam satu gabungan sebelum ini dilihat mampu memberi ruang kepada penyokong parti tersebut untuk memberikan undi kepada beliau, memandangkan Bersatu tidak meletakkan calon di Larkin kali ini.

Pada PRU14, kerusi DUN Larkin dimenangi Datuk Mohd Izhar Ahmad yang bertanding atas tiket PH (Bersatu), sebelum dirampas oleh Mohd Hairi Mad Shah (BN) pada PRN Johor 2022.

Dalam misi menawan DUN Larkin kali ini, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Bersama, Norsinah Abu dan penyandang Mohd Hairi.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N44 Larkin: 76,662

1. Norsinah Abu (Bersama)

2. Suhaizan Kaiat (PH-Amanah)

3. Mohd Hairi Mad Shah (BN-UMNO)

(2022: Mohd Hairi Mad Shah: BN-UMNO: Maj: 6,178)