29/06/2026 07:11 PM

253 Individu Ditahan Dalam Ops Tapis Khas Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 Jun (Bernama) -- Sebanyak 253 individu termasuk lima wanita ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Ops Tapis Khas (OTK) yang dijalankan selama tiga hari di seluruh negeri bermula 26 Jun.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata operasi tersebut dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Beliau berkata kesalahan penyalahgunaan dadah mencatatkan tangkapan tertinggi dengan 146 individu, diikuti memiliki dadah (72), mengedar dadah (29) dan memiliki waran tangkap (enam).

"Kumpulan individu berusia antara 41 hingga 50 tahun merekodkan jumlah tangkapan tertinggi, iaitu 72 orang, diikuti 35 hingga 40 tahun (45 orang), 51 hingga 72 tahun (44 orang), 30 hingga 34 tahun (35 orang), 25 hingga 29 tahun (32 orang) dan 19 hingga 24 tahun (25 orang).

"Dalam operasi sama polis turut merampas dadah yang dianggarkan berjumlah RM18,044.60. Daripada tangkapan keseluruhan, sebanyak 33 penagih telah diserahkan kepada AADK untuk tujuan rawatan serta pemulihan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata operasi tersebut membuktikan komitmen berterusan pihak polis dan AADK dalam memperkukuh kerjasama membanteras penyalahgunaan dadah.

"Kejayaan merupakan hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pengedaran, memiliki atau mengedar dadah," katanya 

-- BERNAMA