Angka Korban Gempa Bumi Di Venezuela Meningkat Kepada 920
BOGOTA (Colombia), 27 Jun (Bernama-Anadolu) -- Angka kematian akibat dua gempa bumi kuat yang melanda Venezuela meningkat kepada 920 orang, manakala 3,360 lagi cedera, menurut Ketua Perhimpunan Kebangsaan negara itu, Jorge Rodriguez pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen, Rodriguez berkata "gempa berganda" yang melanda pesisir utara negara itu pada Rabu diikuti beberapa gegaran susulan yang kuat, mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan paling terjejas di negeri La Guaira.
Beliau berkata sebanyak 383 bangunan mengalami kerosakan, menyebabkan infrastruktur di kawasan berkenaan terjejas.
Seramai 3,007 penduduk dipindahkan dan kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara serta hospital medan.
Pasukan kecemasan, dengan bantuan pasukan mencari dan menyelamat antarabangsa masih meneruskan operasi mengesan mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Rodriguez turut menggesa orang ramai supaya mengelakkan perjalanan ke La Guaira kerana kesesakan lalu lintas menghalang proses pemindahan mangsa yang cedera serta memperlahankan operasi menyelamat.
Menurut Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS), dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 pada skala Richter melanda Venezuela pada Rabu dengan selang masa hanya 39 saat.
USGS memaklumkan gempa bumi 7.5 pada skala Richter berlaku kira-kira 14.3 batu di tenggara bandar Yumare, negeri Yaracuy, manakala gempa 7.2 pada skala Richter berlaku kira-kira 14.9 batu di timur laut San Felipe, juga di negeri Yaracuy.
-- BERNAMA-ANADOLU
Kata kunci
Berita terkini
- Gunung Berapi Semeru, Lewotobi Laki-Laki Di Indonesia Meletus Beberapa Kali Hari Ini
- Hujan Lebat Cetus Banjir Kilat Di Utara Pakistan
- Gelombang Haba: Beberapa Individu Lemas Ketika Cuba Menyejukkan Badan Di Jerman
- New South Wales Tingkat Pemantauan Jerung Selepas Serangan Di Pantai Sydney
- Tambang Percuma LRT3 Bantu Pelajar, Peluang Orang Ramai Cuba Pengangkutan Awam