25/06/2026 05:57 PM

Southern Cable Peroleh Persijilan Kabel Voltan Tinggi Untuk Bekalan Kuasa Pusat Data

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) --Southern Cable Group Bhd telah memperoleh pensijilan produk rasmi daripada penyedia utiliti kebangsaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membekalkan kabel penghantaran bawah tanah berkapasiti tinggi.

Syarikat itu memaklumkan bahawa kelayakan untuk kabel kuasa berpenebat polietilena berangkai silang (XLPE) 132 kilovolt dengan konduktor Milliken sehingga 1,800 milimeter persegi (mm persegi) meletakkan kumpulan itu untuk menyokong keperluan kuasa beban berat pengembangan grid nasional Malaysia.

Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai berkata mendapatkan pensijilan voltan tinggi ini dibina berdasarkan rekod prestasi mantapnya dalam menyokong grid kebangsaan, melayakkan syarikat itu antara beberapa pemain domestik terpilih untuk membekalkan kabel berkapasiti tinggi untuk infrastruktur kuasa Malaysia.

“Pengembangan kapasiti berterusan kami meletakkan kami untuk memenuhi lonjakan permintaan tempatan, menyediakan kapasiti yang mencukupi untuk membolehkan peningkatan grid negara dan peralihan tenaga boleh baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Persijilan terbaharu ini meluaskan pasaran boleh diteroka Southern Cable, bersandarkan statusnya sebagai vendor TNB untuk membekalkan kabel voltan tinggi (HV) bawah tanah bersaiz sehingga 800 mm persegi sejak 2015.

Mencerminkan permintaan pasaran yang kukuh, Souther Cable berkata jualan kabel HV kumpulan itu meningkat lebih 500 peratus tahun ke tahun untuk melepasi RM100 juta pada tahun kewangan 2025 (TK2025).

“Inisiatif pengembangan kumpulan itu kekal di landasan betul untuk disiapkan pada 2026 dan 2027,” kata Tung.

Meningkatkan keupayaan huluannya, relau aluminium kumpulan yang baru beroperasi telah meningkatkan kapasiti rod tiga kali ganda kepada lebih 60,000 tan setiap tahun.

“Selain itu, kemudahan pengkompaunan plastik baharu akan beroperasi pada akhir tahun ini untuk mengurangkan pergantungan import dan mengoptimumkan kecekapan kos.

“Bagi meningkatkan pengeluaran hiliran, kemudahan tambahan dijadualkan siap menjelang akhir 2026, mengembangkan kapasiti kabel dan wayar kepada 60,000 km setahun,” menurut Southern Cable.

Melangkah ke hadapan, trajektori pertumbuhan Southern Cable disokong lagi oleh jumlah pesanan yang kukuh sebanyak RM924.9 juta setakat 31 Mac, 2026.

Pada mesyuarat agung tahunan hari ini, para pemegang saham meluluskan dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.83 sen sesaham.

Sebagai tambahan kepada dividen dibayar sebelum ini sebanyak 1.20 sen, jumlah dividen untuk tahun kewangan 2025 berjumlah 3.03 sen sesaham, bersamaan dengan pembayaran RM32.8 juta.

Nisbah pembayaran 25 peratus mengatasi dasar dividen 15 peratus kumpulan itu.

-- BERNAMA