22/06/2026 09:34 AM

Jumlah Kes Ebola Di Dr Congo Melebihi 1,000, 254 Kematian Dicatatkan

KIGALI (Rwanda), 22 Jun (Bernama-Anadolu) -- Jumlah keseluruhan kes virus Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DR Congo) melebihi 1,000 kes pada Ahad selepas jangkitan baharu direkodkan, menurut pihak berkuasa kesihatan.

Kes yang disahkan meningkat kepada 1,003 termasuk 254 kematian sejak wabak berkenaan diisytiharkan pada 15 Mei, dengan kadar kematian sebanyak 25.3 peratus, menurut kemas kini Kementerian Kesihatan yang dipetik Anadolu Ajansi.

"Walaupun berlaku peningkatan, pasukan tindak balas terus menjalankan siasatan aktif, pemantauan epidemiologi dan tindakan pencegahan di kawasan yang terjejas," menurut kementerian itu.

Menteri Kesihatan Roger Kamba berkata usaha membendung virus itu diteruskan di wilayah Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan, dengan jumlah pesakit yang pulih menunjukkan peningkatan, namun kadar pemantauan kontak rapat mencatatkan penurunan.

Sekurang-kurangnya 100 pesakit telah pulih manakala 365 lagi masih menjalani kuarantin atau menerima rawatan di hospital.

Minggu lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) memberi amaran bahawa wabak semasa berpotensi menjadi lebih buruk berbanding epidemik Afrika Barat pada 2014 hingga 2016 yang mengorbankan lebih 11,000 nyawa di Guinea, Liberia dan Sierra Leone sekiranya penularan tidak dapat dikawal dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Kamba berkata usaha komunikasi dengan komuniti, diagnosis dan pengurusan kes terus dipergiat bagi membendung penularan wabak itu.

-- BERNAMA-ANADOLU