PRN Johor: Anwar Umum Senarai Penuh Calon PH Malam Ini
JOHOR BAHRU, 22 Jun (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengumumkan senarai penuh 56 calon gabungan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, malam ini.
Majlis pengumuman calon dijadual berlangsung pada jam 8 malam di Padang Bukit Gambir Extreme Park, sekali gus melengkapkan keseluruhan senarai calon PH yang akan bertanding pada PRN berkenaan.
Barisan kepimpinan tertinggi PH, antaranya Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dijadual hadir pada majlis itu bersama jentera serta penyokong gabungan berkenaan.
Setakat ini, PH menerusi DAP sudah mengumumkan lima calon iaitu peguam Chu Poh Yee (Mengkibol); Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kewangan Nor Zulaila Abd Ghani (Tiram); Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Johor Lee Wern Yiing (Johor Jaya); bekas penyandang Wong Bor Yang (Senai); serta pembantu khas Ahli Parlimen Kulai Mohamad Shafwan Ani (Bukit Permai).
PKR pula sebelum ini mengumumkan Arthur Chiong Sen Sern yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.
Menerusi hantaran di media sosial semalam, Anwar berkata Johor berhak mendapat kepimpinan yang berintegriti, berwibawa dan bekerja keras demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala 7 Julai sebagai hari pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PN Lulus Kemasukan Pejuang, PCM Sebagai Anggota Baharu
- Johor Sumbang RM14 Bilion, Terima Semula RM16 Bilion Daripada Persekutuan - PM Anwar
- Lelaki Ditahan, Miliki Lebih 1,000 Pil Yaba Di Tanah Merah
- PM Anwar Junjung Kasih Pemangku Sultan Johor Anggap Beliau Sahabat
- Anwar Umum 56 Calon PH Untuk PRN Johor