Risiko Di Sebalik Salah Anggap Sakit Perut Hanya Gastrik
Mungkin ramai antara kita menganggap gejala pedih di bahagian ulu hati, rasa senak selepas makan atau sakit perut yang datang sesekali sebagai perkara kecil, lebih-lebih lagi jika rasa sakit itu lenyap selepas mengambil ubat yang dibeli di farmasi.
Tanpa melakukan pemeriksaan lanjut di klinik atau hospital, kita melakukan diagnosis sendiri dengan menganggap masalah tersebut sekadar “gastrik” atau “angin dalam perut”, sekalipun gejala berlaku secara kerap.
Menyifatkan tindakan “diagnosis sendiri” itu sebagai berisiko, pakar berkata gejala yang dialami mungkin menandakan sesuatu yang lebih teruk sedang berlaku pada sistem penghadaman seseorang, antaranya kanser usus yang sememangnya amat sukar untuk dikesan, serangan jantung, masalah batu hempedu atau keradangan pankreas.
Sikap mengambil mudah gejala yang dialami itu kata pakar, menyebabkan ramai yang hanya tampil di hospital selepas penyakit sebenar mereka sudah di tahap lanjut.
“Dalam kebanyakan situasi penyakit serius, masalah utama bukan simptom itu, tetapi cara ahli masyarakat mentafsir gejala yang dialami mereka,” tegas pakar.
KANSER USUS SEMAKIN MEMBIMBANGKAN
Mengulas lanjut berhubung tabiat “diagnosis sendiri” itu, Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal di Hospital Pakar Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Nurhashim Haron berkata sekitar 40 hingga 50 peratus pesakit kanser usus yang dirujuk kepada beliau memaklumkan pada awalnya mereka menyangka hanya mengalami gastrik.
“Pesakit hanya datang mendapatkan pemeriksaan lanjut selepas simptom yang dialami berlarutan, dan akibatnya, apabila dilakukan didiagnosis serta disahkan kanser usus, lebih 70 peratus daripada mereka sudah berada di tahap lanjut, iaitu tiga atau empat,” ujarnya ketika dihubungi Bernama.
Menurut Presiden Persatuan Pakar Bedah Kolorektal Malaysia ini lagi, kanser kolorektal atau kanser usus, adalah barah kedua paling kerap dialami di Malaysia selepas kanser payudara.
“Ringkasan Daftar Kanser Kebangsaan bagi tempoh 2017 hingga 2021, menunjukkan peningkatan kes kanser kolorektal bagi kedua-dua jantina. Dalam kalangan lelaki, bagi setiap 100,000 penduduk, kadar insiden meningkat kepada 18.8 kes berbanding 14.8 kes dalam tempoh 2012 hingga 2016.
“Untuk wanita pula meningkat kepada 13.7 kes daripada 11.1 kes bagi tempoh sama,” katanya.
Menurut beliau lagi, pemerhatiannya juga mendapati perubahan ketara dari segi usia pesakit yang mendapatkan rawatan.
“Jika dulu, kebanyakan pesakit biasanya berumur antara 55 hingga 65 tahun, tapi sekarang kita sudah mula melihat kes seawal usia 40-an, malah ada yang lebih muda daripada itu,” tambahnya.
Lebih mencabar, simptom kanser usus sering bergantung pada lokasi tumor dan boleh menyerupai masalah pencernaan biasa, menyebabkan mudah untuk terlepas pandang pada peringkat awal.
Beliau turut berkongsi satu kes yang dikendalikannya kira-kira tiga tahun lepas, melibatkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang pada mulanya mengadu simptom menyerupai gastrik dan menyangkakan hanya masalah angin.
Menurutnya, pesakit terbabit telah beberapa kali mendapatkan rawatan di klinik serta mengambil ubat yang dibeli di farmasi kerana menyangka masalah dialaminya hanyalah gangguan pencernaan biasa.
“Pemeriksaan endoskopi (OGD) yang dijalankan pada peringkat awal hanya menunjukkan keradangan pada lapisan perut (gastritis). Namun, pemeriksaan lanjut menerusi kolonoskopi mendedahkan kewujudan tumor pada bahagian tengah usus besar (kolon transversum).
“Imbasan CT seterusnya mengesahkan ketumbuhan itu sudah pada tahap yang lebih lanjut dan memerlukan rawatan yang lebih agresif,” katanya, menambah pesakit berkenaan terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada usus besar dan perutnya, disusuli dengan kemoterapi.
KENALI TANDA “RED FLAG” UTAMA
Menurut Dr Nurhashim lagi, antara kesilapan paling besar dalam kalangan masyarakat ialah mengabaikan perubahan pada tabiat buang air besar, yang sebenarnya merupakan antara petunjuk awal paling penting bagi penyakit usus.
Katanya antara simptom yang perlu diberi perhatian ialah perubahan kekerapan membuang air besar, perubahan bentuk najis menjadi lebih kecil atau nipis, serta perubahan konsistensi najis.
“Lebih membimbangkan apabila ada darah atau lendir dalam najis, cirit-birit berpanjangan, sembelit kronik serta rasa tidak puas selepas membuang air besar (tenesmus), yang kesemuanya merupakan antara tanda amaran yang tidak boleh diabaikan.
“Pun begitu, masih ramai pesakit cenderung menganggap simptom yang dialami berpunca daripada gastrik, tekanan atau faktor pemakanan semata-mata, lalu memilih untuk menunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius,” dedah beliau.
Menurut Dr Nurhashim, antara faktor pesakit menangguhkan pemeriksaan ialah rasa malu dan takut memandangkan saringan seperti OGD dan kolonoskopi bersifat invasif.
LAGI LAMBAT DIKESAN LAGI KOMPLEKS RAWATAN
Dari sudut klinikal, Dr Nurhashim menjelaskan jenis rawatan bergantung pada tahap kanser yang dihidapi serta keadaan pesakit.
“Pelan rawatan akan diputuskan selepas pemeriksaan seperti kolonoskopi, biopsi dan imbasan CT serta beberapa ujian lain dijalankan. Selain pembedahan untuk membuang bahagian usus yang terjejas, rawatan moden turut melibatkan kemoterapi, radioterapi serta rawatan bersasar bagi kes tertentu, khususnya apabila kanser telah merebak atau berisiko tinggi untuk berulang.
“Pendekatan rawatan ini bukan sahaja bertujuan membuang tumor, tetapi juga membantu mengurangkan risiko kanser berulang serta meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit dalam jangka panjang,” tambahnya lagi.
Menurutnya lagi, jika penyakit dikesan pada peringkat awal, pembedahan selalunya sudah memadai dengan peluang pemulihan yang jauh lebih baik, dan dalam sesetengah kes pesakit tidak memerlukan rawatan tambahan seperti kemoterapi.
Namun bagi kes yang lewat dikesan, rawatan menjadi lebih kompleks dan berperingkat, termasuk gabungan pembedahan, kemoterapi serta radioterapi selain memerlukan pemantauan jangka panjang.
“Untuk kes-kes berkaitan kanser, early detection, better outcome adalah slogan yang kita uar-uarkan bagi membantu meningkatkan tahap kesedaran orang ramai,” ujarnya.
GEJALA HAMPIR SAMA
Namun, bukan semua kes sakit perut yang sering disalah anggap sebagai gastrik berpunca daripada masalah usus.
Pakar Perunding Pembedahan Am dan Hepatobiliari di Pusat Perubatan Bukit Tinggi Klang (BTMC), Dr Thamarai Velan berkata gejala sama mungkin dicetuskan oleh masalah batu hempedu dan pankreatitis.
“Ramai pesakit datang dan mengadu mengalami pedih ulu hati, senak perut dan rasa tidak selesa di bahagian abdomen yang dianggap mereka gastrik. Tetapi, dalam pengalaman saya, lebih separuh kes yang datang dengan gejala gastrik sebenarnya disebabkan oleh penyakit lain.
“Dalam kes batu hempedu, kesakitan dialami lebih tajam dan boleh berlaku dalam tempoh beberapa minit hingga beberapa jam, selain rasa sakit itu bertumpu pada bahagian kanan abdomen.
“Ada juga pesakit yang mengalami sakit menjalar ke bahagian belakang badan. Loya dan muntah pula sering berlaku, manakala dalam kes tertentu, mata atau kulit boleh menjadi kekuningan apabila saluran hempedu tersumbat.
“Ramai pesakit, biasanya hanya kembali mendapatkan rawatan apabila sakit semakin kerap atau menjadi lebih teruk. Selalunya mereka ingat keadaan sudah semakin baik sebab makan ubat, tetapi sebenarnya simptom hanya berkurangan buat sementara waktu sebelum berulang kembali,” jelasnya lagi.
GAYA HIDUP TIDAK SIHAT
Dr Thamarai turut melihat perubahan ketara dari segi umur pesakit yang datang mendapatkan rawatan bagi masalah itu.
“Jika dahulu batu hempedu lebih kerap dikaitkan dengan individu pertengahan umur dan warga emas, kini pola tersebut semakin berubah dengan kian ramai orang lebih muda mengalaminya,” kata beliau.
Jelas beliau perubahan ini berkait rapat dengan gaya hidup moden masyarakat hari ini termasuk gaya hidup sedentari, kurang aktiviti fizikal serta masalah obesiti, selain tabiat pemakanan tinggi lemak dan rendah serat.
“Bahkan, pengambilan makanan segera yang lebih kerap serta amalan pemakanan tidak seimbang turut meningkatkan risiko pembentukan batu hempedu dan pelbagai masalah berkaitan sistem pencernaan.
“Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh membawa kepada pembentukan batu hempedu yang seterusnya mencetuskan pelbagai komplikasi jika tidak dikesan atau dirawat lebih awal,” tegasnya.
Antara komplikasi yang boleh berlaku ialah jangkitan pada pundi hempedu (cholecystitis) dan saluran hempedu tersumbat sehingga menyebabkan penyakit kuning. Lebih membimbangkan, batu hempedu juga boleh bergerak ke saluran pankreas dan mencetuskan radang pankreas (gallstone pancreatitis) yang dalam sesetengah kes berisiko menjadi kecemasan perubatan.
“Kalau tidak dirawat awal, keadaan boleh menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan jangkitan serius dalam saluran hempedu yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi,” tegasnya, sambil mengingatkan batu hempedu bersaiz besar juga boleh meningkatkan risiko kanser pundi hempedu dalam jangka panjang.
Bagaimanapun kata beliau tidak semua pesakit batu hempedu memerlukan pembedahan serta-merta, khususnya mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan hanya mengetahui mengenai keadaan itu selepas menjalani pemeriksaan ultra bunyi ketika pemeriksaan kesihatan rutin.
“Pembedahan, yang hanya merangkumi 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan kes batu hempedu, lazimnya disarankan apabila pesakit mula mengalami simptom seperti sakit perut berulang, loya atau rasa kembung terutama selepas mengambil makanan berlemak,” tambah beliau lagi.
TINGKATKAN KESEDARAN, JANGAN TANGGUH PEMERIKSAAN
Menyifatkan tahap kesedaran masih rendah sebagai cabaran terbesar dalam menangani kanser kolorektal di Malaysia, Dr Nurhashim berkata orang ramai perlu mengambil serius gejala sakit perut berulang, terutamanya jika disertai dengan perubahan tabiat membuang air besar atau simptom berlarutan tanpa sebab yang jelas.
“Kesedaran itu paling penting. Ramai pesakit sebenarnya boleh diselamatkan kalau mereka datang awal. Tapi masalahnya, mereka tunggu terlalu lama,” katanya.
Tegasnya mesej utama yang perlu difahami orang ramai ialah kepentingan mendapatkan pemeriksaan awal sebelum keadaan menjadi serius, kerana rawatan pada peringkat awal bukan sahaja lebih berkesan, tetapi juga jauh lebih mudah, murah dan mempunyai kadar kejayaan lebih tinggi.
Sementara itu, Dr Thamarai pula menasihati orang ramai agar menghentikan tabiat mendapatkan ubat di farmasi bagi “merawat” gejala yang dialami tanpa berjumpa doktor, kerana "pengambilan ubat hanya ‘menutup’ punca sebenar.”
“Dalam banyak kes yang kita hadapi, simptom biasanya akan berulang semula jika punca asal masih tidak dapat dikenal pasti dan dirawat dengan kadar segera,” tegasnya.
Berita terkini
- PN Lulus Kemasukan Pejuang, PCM Sebagai Anggota Baharu
- Johor Sumbang RM14 Bilion, Terima Semula RM16 Bilion Daripada Persekutuan - PM Anwar
- Lelaki Ditahan, Miliki Lebih 1,000 Pil Yaba Di Tanah Merah
- PM Anwar Junjung Kasih Pemangku Sultan Johor Anggap Beliau Sahabat
- Anwar Umum 56 Calon PH Untuk PRN Johor