TUDM Terima Sistem Persenjataan Baharu Perkukuh Operasi CSAR
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi sistem persenjataan FN MAG 58M berkaliber 7.62mm bagi helikopter EC 725 AP/H225M sempena Hari Terbuka TUDM ke-68 di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.
TUDM dalam kenyataan memaklumkan perolehan sistem itu bertujuan memperkukuh keupayaan operasi Mencari dan Menyelamat Tempur (CSAR) di kawasan berisiko tinggi selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55).
Menurut TUDM, sistem berkenaan juga akan memenuhi keperluan perlindungan kendiri semasa berada di kawasan ancaman, sekali gus meningkatkan keselamatan anak kapal dan anggota dalam misi menyelamat.
Kenyataan itu memaklumkan Kerajaan Malaysia telah menandatangani Surat Setuju Terima (LOA) bersama syarikat pembuat senjata terkemuka dari Belgium, FN HERSTAL bagi perolehan lima unit mesingan berkenaan.
"Senjata ini merupakan antara sistem persenjataan yang telah terbukti keberkesanannya dan digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di seluruh dunia," menurut kenyataan itu.
TUDM memaklumkan sebelum penyerahan rasmi itu, proses Ujian Penerimaan Akhir (FAT) telah dijalankan bermula 30 Mac hingga 4 Jun lepas membabitkan No 10 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan dan No 5 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan.
Pengujian tersebut bertujuan memastikan setiap sistem memenuhi spesifikasi teknikal, standard keselamatan serta keperluan operasi yang ditetapkan TUDM.
Terdahulu, majlis penyerahan rasmi sistem persenjataan itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Airbus Helicopters Axel de Pascal kepada Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Impak Gangguan Selat Hormuz, Pengurusan Haji Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini
- MUDA Pertaruh Tiga Lagi Calon Pada PRN Johor
- Rundingan AS-Iran Tumpu Kepada Pelaksanaan Peruntukan Memorandum - Kementerian Luar Iran
- Op Cantas Bersepadu: 349 Individu Termasuk Orang Dikehendaki Diberkas Di Selangor
- Polis Tahan Lima Lelaki Bantu Siasatan Kes Kehilangan Dua Remaja Perempuan