Banjir Di Kampar Jejas 69 Mangsa, Satu PPS Dibuka
IPOH, 14 Jun (Bernama) -- Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Bandaran Gopeng bagi menempatkan 69 mangsa daripada 20 keluarga susulan banjir yang melanda Kampung Ulu Geruntum dalam daerah Kampar hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan PPS berkenaan dibuka pada 2 petang tadi dan mangsa masih dalam proses pemindahan ke pusat tersebut.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kampar Kapten (PA) Jasri Mohd Yusof berkata mangsa yang berpindah ke PPS termasuk Orang Asli yang terselamat selepas kejadian kepala air di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila, Gopeng petang semalam.
“Kejadian kepala air itu telah menyebabkan jambatan yang digunakan penduduk Orang Asli runtuh manakala paras air sungai meningkat sehingga kira-kira 2 meter susulan hujan lebat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di seluruh daerah di Perak petang ini.
Jabatan Pengairan dan Saliran pula memaklumkan paras Sungai Perak di Kampung Terengganu dalam daerah Hilir Perak mencecah tahap berjaga-jaga, iaitu 3.30 meter manakala Sungai Slim di Slim River berada pada tahap waspada, iaitu 24.99 meter.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Impak Gangguan Selat Hormuz, Pengurusan Haji Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini
- MUDA Pertaruh Tiga Lagi Calon Pada PRN Johor
- Rundingan AS-Iran Tumpu Kepada Pelaksanaan Peruntukan Memorandum - Kementerian Luar Iran
- Op Cantas Bersepadu: 349 Individu Termasuk Orang Dikehendaki Diberkas Di Selangor
- Polis Tahan Lima Lelaki Bantu Siasatan Kes Kehilangan Dua Remaja Perempuan