Fadhlina Minta Masyarakat Hormati Keluarga Pelajar, Kes Sedang Disiasat
SEREMBAN, 19 Jun (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyeru masyarakat supaya memberi ruang dan menghormati sensitiviti keluarga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang meninggal dunia di sebuah sekolah di sini pagi tadi.
Fadhlina berkata kejadian yang menimpa pelajar berkenaan sedang disiasat oleh pihak polis dan pihaknya memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang sedang berjalan.
“Mendapat perkhabaran duka pemergian anakanda di sebuah sekolah di Negeri Sembilan pada hari ini. Semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
“Semoga keluarga diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan bantuan terbaik diberikan kepada keluarga dan semua yang terlibat.
Terdahulu, Fadhlina dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad turut menziarah keluarga pelajar berkenaan di Hospital Rembau malam ini bagi memberikan sokongan.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pelajar berkenaan yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sebuah sekolah menengah di sini pada 10.48 pagi.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan polis meneruskan siasatan lanjut termasuk mendapatkan keterangan beberapa saksi serta laporan bedah siasat.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Lawatan Ke Turkmenistan Capai Matlamat, Kukuh Hubungan Dua Negara - Anwar
- Lima Wakil Negara Ke Separuh Akhir Terbuka Macau
- Pengunjung Teruja Meriahkan Malam Pertama Konsert Riuh Pi HAWANA
- Fahmi Puji Sambutan Riuh Pi HAWANA, Harap Tarik Lebih Ramai Pengunjung
- Tiga Bayi Antara 20 Mangsa Terselamat Dalam Kejadian Kepala Air Di GopengĀ