20/06/2026 12:10 AM

Peroleh Telaga Gas Antara Terbesar Dunia Kejayaan Luar Biasa Petronas - PM Anwar

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

ASHGABAT (TURKMENISTAN), 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperoleh telaga gas antara yang terbesar dunia susulan perjanjian yang dimeterai dengan kerajaan di Turkmenistan sebagai luar biasa.

Beliau berkata ini seterusnya meletakkan syarikat minyak dan gas negara menguasai industri tersebut.

Kejayaan itu bukan sahaja mengatasi kebimbangan mengenai kekurangan bekalan gas dalam negara, malah juga meningkatkan keupayaan Petronas untuk terus menjana eksport dari Malaysia ke negara pengimport gas seperti Jepun, Korea Selatan, China dan beberapa negara lain, kata beliau.

Beliau berkata lawatan rasmi ke Turkmenistan atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedov itu juga sebagai membalas lawatan rasmi yang dilakukan Berdimuhamedov ke Malaysia pada Disember 2024.

"Menarik (pada) 2024 itu, apabila Petronas memaklumkan pada saya mengenai keperluan menggesa Presiden Serdar untuk menerima peranan Petronas sebagai tonggak dalam pengembangan industri minyak dan gas di Turkmenistan, dan beliau pada masa itu nampak memberikan jaminan yang kukuh,” kata beliau kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari ke Turkmenistan hari ini.

Susulan itu, beberapa rundingan diadakan manakala antara perkara yang menarik perhatian Berdimuhamedov adalah rekod prestasi Petronas sebagai penggerak dan pengurus minyak yang membanggakan.

Presiden Turkmenistan itu turut tertarik dengan pelbagai tawaran kepada negara tuan rumah seperti pemindahan teknologi, pendedahan latihan termasuk di Universiti Petronas serta melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dengan Kementerian Luar.

"Ini menyebabkan beliau menerima dengan lebih mudah...satu kejayaan luar biasa meletakkan Petronas sebagai antara pemilik telaga gas terbesar di dunia, di Turkmenistan ini," kata beliau.

Anwar juga menyuarakan penghargaan kepada kerajaan Turkmenistan atas keputusan yang meletakkan Petronas dan Malaysia pada tahap yang sangat tinggi, sekali gus menjamin penjanaan perolehan yang juga luar biasa bagi Petronas.

Perdana Menteri berkata hubungan erat antara kedua-dua negara turut membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama dalam pelbagai industri dan sektor lain.

"Malaysia juga akan memberi penekanan untuk melebarkan jaringan kerjasama melangkaui sektor minyak dan gas asli dengan meliputi bidang lain termasuk sains, teknologi, penyelidikan, pendidikan, semikonduktor, AI (kecerdasan buatan) dan bidang baharu," kata beliau.

Terdahulu, beliau menghadiri Forum Turkmenistan-Malaysia bagi menyambut ulang tahun ke-30 kerjasama dua hala dalam sektor minyak dan gas di Dewan Perdagangan dan Industri Turkmenistan, yang turut dihadiri Berdimuhamedov.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan kalangan pegawai kanan.

Lawatan itu adalah lawatan rasmi yang pertama Anwar ke Turkmenistan dan kali kelima oleh Perdana Menteri Malaysia.

-- BERNAMA