111 Pelabur Saman Syarikat Pelaburan, Pengarah Gagal Pulang Modal RM20.5 Juta
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Seramai 111 pelabur memfailkan saman terhadap sebuah syarikat pelaburan dan dua pengarahnya berhubung dakwaan gagal memulangkan modal pelaburan mereka berjumlah RM20.5 juta.
Kesemua pelabur berusia antara 28 dan 89 tahun itu selaku plaintif memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini, menerusi firma guaman, Tetuan Azri & Co pada 3 April lepas, dengan menamakan syarikat QEW Group Berhad dan dua pengarahnya, Datuk Dr Muhamad Iqbal Mohamad dan Mohd Fairoz Muhammed sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa antara 2022 hingga 2024, mereka dipengaruhi dan didorong oleh defendan untuk melabur dan melanggan Skim Pelaburan RPS-i yang ditawarkan, dipromosikan, dipasarkan serta diuruskan defendan.
Mereka mendakwa sebelum menyertai skim itu, QEW melalui wakilnya Muhamad Iqbal dan Mohd Fairoz membuat representasi material mengenai struktur skim, mekanisme pembayaran dividen, jaminan pemeliharaan modal dan pematuhan kepada prinsip syariah.
Dakwa mereka, defendan membuat representasi secara nyata atau tersirat bahawa skim itu terstruktur dengan baik, selamat, dipantau menurut prinsip syariah dan akan menghasilkan dividen bulanan yang konsisten serta modal pelaburan mereka akan selamat.
Plaintif berkata pada awalnya pembayaran dividen dibuat seperti dijanjikan, bagaimanapun QEW kemudian mula gagal melaksanakan kewajipan apabila pembayaran dividen dijanjikan ditangguhkan, dikurangkan dan seterusnya dihentikan sepenuhnya.
"Apabila dipersoalkan mengenai kegagalan pembayaran dividen, defendan menyatakan bahawa pembayaran tertakluk kepada budi bicara mutlak syarikat, yang mana ia alasan yang tidak pernah dijelaskan secara munasabah atau ditegaskan sebagai risiko utama ketika pelaburan ditawarkan," dakwa plaintif.
Sehubungan itu, kesemua plaintif memohon perintah supaya syarikat berkenaan membayar RM20.5 juta kepada mereka dan perisytiharan bahawa defendan Muhamad Iqbal dan Mohd Fairoz bertindak cuai dan melakukan skim penipuan modal pelaburan mereka.
Plaintif juga memohon perintah supaya Muhamad Iqbal dan Mohd Fairoz secara bersama atau berasingan menanggung rugi dan membayar ganti rugi khas sebanyak RM20.5 juta kepada mereka akibat kecuaian, representasi palsu dan konspirasi penipuan, selain memohon kesemua defendan membayar ganti rugi am dan ganti rugi teladan dan teruk berjumlah RM1 juta.
Sementara itu, peguam Dr Hizri Hasshan yang mewakili kesemua plaintif ketika dihubungi mengesahkan mengenai saman itu dan memaklumkan defendan telah memfailkan notis bagi memasukkan AUF MBZ Consortium PLT untuk menjadi pihak ketika dalam saman berkenaan dan mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk pengurusan kes.
Pada 20 Feb lepas, AUF MBZ dan pengasasnya Datuk Mahadi Badrul Zaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.
Muhamad Iqbal pula atas kapasiti sebagai pengarah QEW Group Berhad didakwa bersubahat dengan AUF MBZ dalam urus niaga sekuriti tanpa lesen.
Sementara itu, peguam Ahmad Ahnaf Zaimi mewakili kesemua defendan ketika dihubungi mengesahkan menerima tuntutan saman itu dan telah memfailkan pernyataan pembelaan pada 21 Mei lepas.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Lawatan Ke Turkmenistan Capai Matlamat, Kukuh Hubungan Dua Negara - Anwar
- Lima Wakil Negara Ke Separuh Akhir Terbuka Macau
- Pengunjung Teruja Meriahkan Malam Pertama Konsert Riuh Pi HAWANA
- Fahmi Puji Sambutan Riuh Pi HAWANA, Harap Tarik Lebih Ramai Pengunjung
- Tiga Bayi Antara 20 Mangsa Terselamat Dalam Kejadian Kepala Air Di GopengĀ