Kerjasama Strategik Petronas, Pihak Berkuasa Turkmenistan Buka Lembaran Baharu Hubungan Ekonomi, Tenaga Kedua-dua Negara
Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail
ASHGABAT (TURKMENISTAN), 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), pencapaian itu hadir bersempena 30 tahun kerjasama Malaysia dan Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang telah menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara.
"Hubungan ini bukan sahaja memperkukuh persahabatan antara Malaysia dan Turkmenistan, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan bakat serta pemindahan ilmu dan teknologi yang memberi manfaat bersama,” tambah PMO.
“Kerjasama ini turut membuka ruang kepada penglibatan yang lebih strategik dalam pembangunan sumber tenaga masa hadapan, termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan yang merupakan antara pemilik rizab gas terbesar dunia,” tambah PMO.
Menurutnya, perkembangan itu juga merupakan manifestasi keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia dalam sektor tenaga dan industri strategik
PMO menjelaskan ini sekali gus membuktikan kepakaran, bakat dan teknologi yang dibangunkan negara mampu bersaing serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan keterjaminan tenaga pada peringkat global.
“Kerajaan MADANI menyambut baik perkembangan ini yang bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Turkmenistan, malah membuka peluang kerjasama ekonomi dan pelaburan yang lebih luas pada masa hadapan,” jelas PMO.
Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari bermula Khamis, disambut Berdimuhamedov dalam Majlis Sambutan Rasmi di Istana Presiden, sebelum mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan.
Pada 2025, Turkmenistan ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia daripada kalangan negara Asia Tengah.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan berjumlah RM75.80 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 9.0 peratus peratus daripada angka pada tahun sebelumnya.
Turkmenistan juga merupakan destinasi pelaburan utama Petronas, dengan jumlah pelaburan Petronas di negara ini telah mencecah RM52.73 bilion sejak 1996 sehingga kini.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Lawatan Ke Turkmenistan Capai Matlamat, Kukuh Hubungan Dua Negara - Anwar
- Lima Wakil Negara Ke Separuh Akhir Terbuka Macau
- Pengunjung Teruja Meriahkan Malam Pertama Konsert Riuh Pi HAWANA
- Fahmi Puji Sambutan Riuh Pi HAWANA, Harap Tarik Lebih Ramai Pengunjung
- Tiga Bayi Antara 20 Mangsa Terselamat Dalam Kejadian Kepala Air Di GopengĀ