HPPSC Laksana Inisiatif Strategik Tingkat Kecekapan Ekosistem Penjagaan Kesihatan
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Protokol dan Penyelesaian Rakan Penjagaan Kesihatan (HPPSC) telah melaksanakan dan terus menggerakkan pelbagai inisiatif strategik yang bertujuan meningkatkan komunikasi serta kecekapan operasi dalam keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan negara.
Inisiatif berkenaan yang melibatkan doktor, hospital serta pengendali insurans dan takaful (ITO) dirangka bagi meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan serta menyokong penjagaan pesakit dan keputusan rawatan yang lebih baik.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dalam kenyataan bersama memaklumkan antara pencapaian utama ialah penubuhan talian hotline khusus "doctor-to-doctor”.
Talian hotline itu yang mula beroperasi sejak 30 April bagi menyokong serta menangani pertanyaan berkaitan tuntutan, membolehkan perbincangan secara langsung diadakan antara pengamal perubatan dan pasukan penasihat perubatan di ITO.
“Perbincangan sedemikian sering diperlukan bagi memahami perkara khusus berkaitan sesuatu kes seperti kaedah rawatan serta penggunaan teknologi atau ubat-ubatan baharu.
“Inisiatif ini dijangka memperkukuh komunikasi, meningkatkan pemahaman bersama serta menyokong penyelarasan yang lebih baik antara pengamal perubatan dan ITO, sekali gus membolehkan pertanyaan berkaitan tuntutan diselesaikan dengan lebih cepat yang akhirnya membawa kepada penjagaan pesakit dan keputusan rawatan yang lebih baik,” menurut kenyataan itu hari ini.
Selain itu, HPPSC telah mewujudkan rangka kerja tadbir urus yang telus dan diperkemas bagi menyokong proses semakan panel serta rayuan melibatkan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyertai kemudahan tanpa tunai di bawah produk insurans dan takaful kesihatan serta perubatan (MHIT).
Rangka kerja itu menyediakan proses semakan dan rayuan yang tersusun berpandukan prinsip bagi menggalakkan penilaian yang adil dan saksama, penglibatan berterusan, pembuatan keputusan yang konsisten serta pemantauan berterusan.
“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh keyakinan, di samping menambah baik tadbir urus dan penglibatan pihak berkepentingan bagi menggalakkan perbelanjaan penjagaan kesihatan yang berhemat, memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan integriti dan kemampanan keseluruhan ekosistem MHIT,” katanya.
Bagi menambah baik pengurusan tuntutan MHIT, jawatankuasa itu melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan protokol klinikal dan perlindungan polisi.
Kenyataan itu memaklumkan usaha berkenaan termasuk membangunkan proses bagi rawatan yang mungkin tidak selaras secara langsung dengan Panduan Amalan Klinikal (CPG) sedia ada serta mewujudkan cadangan amalan terbaik bagi teknologi perubatan baharu seperti pembedahan robotik, ujian genetik dan terapi kanser baharu.
HPPSC turut memperakui senarai ubat kanser yang dibangunkan selaras dengan formulari ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) serta berusaha mempermudah proses pengeluaran Surat Jaminan (GL) bagi mengurangkan ketidakcekapan pentadbiran dan meningkatkan penyelarasan dalam kalangan pihak berkepentingan.
Mengulas mengenai perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berkata HPPSC mencerminkan apa yang boleh dicapai apabila semua pihak berkepentingan dalam ekosistem penjagaan kesihatan tampil dengan matlamat yang sama.
“Inisiatif ini dirangka untuk memperkukuh komunikasi, meningkatkan kecekapan operasi serta mempertingkat ketelusan, yang akhirnya memberi manfaat kepada pesakit dan pemegang polisi,” katanya.
Sementara itu, Dr Gunalan Palari @ Arumugam Palari daripada MMA berkata platform itu membolehkan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pihak pembiaya penjagaan kesihatan menangani cabaran operasi serta membangunkan penyelesaian yang menyokong hasil klinikal dan pesakit yang lebih baik.
“Pelaksanaan inisiatif seperti talian hotline doctor-to-doctor menunjukkan komitmen bersama kami dalam memastikan pesakit menerima penjagaan yang tepat pada masanya, bersesuaian dan diselaraskan,” katanya.
HPPSC terdiri daripada wakil MMA, APHM, LIAM, MTA dan PIAM, dengan pemerhati daripada KKM serta Bank Negara Malaysia (BNM).
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- 30 Tahun Di Turkmenistan, Petronas Meterai Perjanjian Baharu Perkukuh Kerjasama Strategik
- Lawatan Ke Turkmenistan Capai Matlamat, Kukuh Hubungan Dua Negara - Anwar
- Lima Wakil Negara Ke Separuh Akhir Terbuka Macau
- Pengunjung Teruja Meriahkan Malam Pertama Konsert Riuh Pi HAWANA
- Fahmi Puji Sambutan Riuh Pi HAWANA, Harap Tarik Lebih Ramai Pengunjung