19/06/2026 12:58 PM

Pertumbuhan Pusat Data Uji Kemampuan Malaysia Capai Sasaran Sifar Bersih

Hasrat Malaysia untuk menjadi hab pusat data di Asia Tenggara kini di landasan, dengan syarikat teknologi global seperti Google, Microsoft, Amazon Web Services (AWS) dan Oracle menyatakan komitmen pelaburan berbilion ringgit seiring peningkatan permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital yang berterusan.

Pada masa sama, negara turut berikrar mencapai pelepasan sifar bersih gas rumah hijau menjelang 2050 serta meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu (TBB) dalam campuran penjanaan elektrik kepada 70 peratus menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Buat masa ini, kedua-dua matlamat itu dilihat berlawanan arah.

Menurut Baxtel, sebuah platform penyelidikan pusat data, Malaysia mempunyai 125 pusat data yang sedang beroperasi setakat tahun ini, dengan 36 daripadanya di Cyberjaya, 29 di Johor Bahru dan 25 di Kuala Lumpur. Kelompok pusat data yang lebih kecil pula terdapat di Shah Alam (Selangor), Bayan Baru (Pulau Pinang) dan Kuching (Sarawak).


Salah satu pusat data, Day One Data Centre Malaysia Sdn Bhd, yang terletak di Nusajaya Tech Park Data Center Campus, Iskandar Puteri, Johor

Laporan suku kedua 2026 oleh firma perunding hartanah global JLL Malaysia mengunjurkan kapasiti pusat data negara meningkat lebih dua kali ganda kepada 2,055 megawatt (MW) menjelang akhir tahun, meletakkan Johor sebagai antara pasaran pusat data yang berkembang paling pesat di rantau Asia Pasifik.

Perkembangan pesat itu menimbulkan persoalan akan kemampuan sistem bekalan elektrik negara dalam memenuhi permintaan tenaga tanpa menjejaskan sasaran penyahkarbonan jangka panjang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui cabaran itu ketika berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga Tenaga Nasional Berhad pada 4 Jun lalu, sambil menekankan potensi AI untuk mempercepat peralihan tenaga.

Beliau berkata AI mampu meningkatkan kecekapan grid elektrik, membaiki ramalan penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) dan mengoptimumkan penggunaan tenaga dalam sektor perindustrian.

Namun beliau mengingatkan pertumbuhan AI dan pusat data tidak seharusnya mengatasi matlamat kelestarian yang ingin dicapai.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga, anjuran TNB pada 4 Jun lalu (Gambar Ihsan TNB)

 

MEMPERCEPAT PERALIHAN TENAGA 

Walaupun pusat data kini dianggap sebagai infrastruktur penting bagi ekonomi digital, kemudahan itu juga merupakan antara prasarana paling banyak menggunakan tenaga di dunia kerana memerlukan bekalan elektrik yang sangat tinggi untuk mengendalikan pelayan komputer, sistem penyejukan dan operasi tanpa henti.

Menurut laporan Ember 2025 bertajuk From AI to Emissions: Aligning ASEAN's Digital Growth with Energy Transition Goals, penggunaan elektrik oleh pusat data berpotensi mencecah hingga 30 peratus daripada keseluruhan penggunaan elektrik Malaysia dalam beberapa tahun akan datang. Pelepasan karbon daripada sektor itu juga dijangka meningkat dengan ketara di seluruh rantau sekiranya pembangunan TBB tidak berkembang seiring dengan peningkatan permintaan.

Kebimbangan itu timbul ketika negara-negara ASEAN giat memperluaskan kapasiti TBB menerusi projek solar berskala besar, sistem penyimpanan tenaga menggunakan bateri serta inisiatif serantau seperti ASEAN Power Grid yang bertujuan memudahkan perdagangan elektrik rentas sempadan dan memanfaatkan sumber TBB dari negara seperti Vietnam, Thailand dan Kemboja.

Bagi Malaysia, perbahasan kini bukan lagi sama ada negara perlu menerima pelaburan pusat data, tetapi tentang peralihan tenaga dapat dipercepatkan bagi menyokong pertumbuhan sektor itu tanpa menjejaskan komitmen iklim negara.

Ajita Mishra, ketua pembangunan pasaran Transition Zero, iaitu organisasi teknologi iklim bukan berasaskan keuntungan, berkata perkembangan pesat pusat data di Asia Tenggara termasuk Malaysia mampu menjejaskan cita-cita iklim rantau ini jika pembangunan TBB gagal mengimbangi peningkatan permintaan elektrik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pusat data bukanlah punca utama masalah, sebaliknya cara permintaan tambahan tenaga itu dipenuhi.

"Jika permintaan tenaga pusat data dipenuhi terutamanya melalui penjanaan elektrik berasaskan bahan api fosil, hal ini boleh meningkatkan pelepasan karbon, memberi tekanan kepada grid elektrik serta menyukarkan negara mencapai sasaran tenaga bersih dan iklim," katanya dalam temu bual melalui e-mel.


Ketua pembangunan pasaran Transition Zero, Ajita Mishra (Gambar Ihsan TransitionZero)

Beliau berkata peningkatan permintaan elektrik juga boleh mewujudkan persaingan bagi sumber TBB sekiranya pembangunan tenaga bersih tidak berkembang seiring dengan peluasan infrastruktur digital.

"Pusat data boleh menjadi pelanggan utama bagi TBB, sistem penyimpanan tenaga dan penambahbaikan grid. Kemudahan itu juga berpotensi membantu mewujudkan permintaan terhadap bekalan elektrik yang lebih bersih jika perancangan, mekanisme perolehan dan rangka kerja grid yang sesuai disediakan," katanya.

Menurut Mishra, persoalan utama bukan tentang keperluan pusat data untuk terus berkembang, tetapi sama ada pertumbuhan itu disepadukan dengan perancangan tenaga bersih di rantau ini.

 

GAS SEBAGAI BAHAN API PERALIHAN?

Laporan bersama yang diterbitkan pada Mei 2025 oleh Bain & Company, Google, Temasek dan rakan industri mengunjurkan Malaysia memerlukan tambahan antara enam hingga lapan gigawatt (GW) kapasiti penjanaan elektrik berasaskan gas menjelang 2030 bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik pusat data.

Laporan itu menganggarkan bahagian penggunaan elektrik negara oleh pusat data akan meningkat tiga kali ganda kepada 21 peratus menjelang 2027 berbanding hanya tujuh peratus pada 2022 apabila syarikat teknologi global terus memperluas infrastruktur digital mereka di Malaysia.

Permintaan terhadap tenaga itu dijangka semakin banyak dipenuhi melalui loji jana kuasa berasaskan gas.


Projek loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan 500MW Miri milik Petros di Miri, Sarawak yang dijangka siap pada tahun 2027 (Gambar Ihsan Mitsubishi Power)

Unjuran itu menimbulkan persoalan penting: mampukah Malaysia mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050 jika sebahagian besar tambahan permintaan elektrik dipenuhi menggunakan gas asli yang merupakan bahan api fosil?

Sesetengah pemain industri berpendapat gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan peralihan tenaga.

Naib Presiden Eksekutif Jualan dan Pemasaran Global Mitsubishi Power Daichi Nakajima berkata permintaan elektrik di Asia Tenggara sebelum ini didorong oleh perindustrian, pembandaran dan pembangunan ekonomi, namun kini pusat data muncul sebagai pemacu pertumbuhan baharu.

Bercakap di luar Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2026, beliau berkata Malaysia dijangka menyumbang 44 peratus daripada kapasiti bekalan elektrik pusat data yang sedang dibina atau dirancang di Asia Tenggara, dengan permintaan diunjurkan mencecah 7.7 GW menjelang 2050.


Naib Presiden Eksekutif Jualan dan Pemasaran Global Mitsubishi Power, Daichi Nakajima (Gambar Ihsan Mistubishi Power)

Nakajima mengakui kewujudan cabaran untuk mengimbangi keselamatan tenaga, pertumbuhan ekonomi dan komitmen iklim, namun berpendapat gas asli perlu dilihat sebagai bahan api peralihan, bukan penghalang kepada penyahkarbonan.

"Sejak 20 tahun lalu, loji jana kuasa berasaskan gas telah menyediakan bekalan elektrik yang stabil di Malaysia. Gas asli akan terus memainkan peranan itu kerana bekalannya meluas, fleksibel dan praktikal untuk memenuhi keperluan elektrik negara yang semakin meningkat," katanya.

Tambahnya, turbin gas sedia ada juga boleh dinaik taraf untuk menggunakan bahan api rendah karbon seperti hidrogen secara bersama, manakala teknologi turbin gas kitaran gabungan mampu mengurangkan pelepasan karbon hingga 65 peratus berbanding loji jana kuasa arang batu konvensional.

Menurutnya, penggunaan teknologi penangkapan karbon dan pembakaran bersama hidrogen pada masa depan mampu mempercepat usaha penyahkarbonan, manakala penjanaan elektrik berasaskan gas yang fleksibel akan terus memainkan peranan penting bagi menyokong integrasi TBB yang bersifat tidak menentu seperti solar dan angin ketika negara-negara ASEAN meningkatkan kapasiti TBB masing-masing.

 

PERBAHASAN BERKAITAN GAS ASLI 

Bagaimanapun, para saintis mempunyai pandangan berbeza.

Profesor Reka Bentuk dan Integrasi Proses di Universiti Nottingham Malaysia, Prof Dr Ir Dominic Foo berkata walaupun gas asli menghasilkan pelepasan karbon lebih rendah berbanding arang batu, ia adalah bahan api fosil dan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian sifar pelepasan.

Beliau berkata jika sebahagian besar industri pusat data Malaysia terus bergantung pada gas asli, sektor itu mungkin sedang mengumpulkan jejak karbon yang besar tetapi belum diukur atau dilaporkan secara sistematik.


Professor Dr Ir Dominic Foo (Gambar Ihsan University of Nottingham Malaysia)

Foo yang juga pengarah pengasas Centre for Green Technologies (CEGT) berkata isu itu bukan sekadar berkaitan pelepasan karbon, malah dapat menjejaskan kredibiliti Malaysia sebagai destinasi pelaburan digital yang mampan.

"Apabila syarikat multinasional, pelabur institusi dan pengawal selia antarabangsa semakin memberi perhatian terhadap pelaporan karbon dan ketelusan rantaian bekalan, dakwaan mengenai kelestarian akan diteliti dengan lebih ketat sekiranya bekalan elektrik masih banyak bergantung pada bahan api fosil.

"Terdapat risiko bahawa tahap sebenar pendedahan karbon sektor ini mungkin tidak dapat dilihat sepenuhnya dalam laporan kelestarian sedia ada, sama ada di peringkat kemudahan atau keseluruhan industri," katanya kepada Bernama menerusi temu bual e-mel.

 

KEBERTANGGUNGJAWABAN KARBON LEBIH TEGAS

Foo menegaskan pembangunan kerangka kerja perakaunan karbon yang menyeluruh perlu menjadi keutamaan sebelum kerajaan menentukan kadar pengembangan pusat data pada masa depan.

Beliau berkata kaedah seperti Carbon Emission Pinch Analysis  dapat membantu menilai sama ada sasaran TBB  sedia ada masih mencukupi berikutan peningkatan permintaan elektrik daripada pusat data serta kesannya terhadap laluan Malaysia menuju pelepasan sifar bersih.

"Tanpa gambaran yang jelas mengenai jumlah pelepasan karbon sektor ini, sukar untuk menilai kos karbon sebenar akibat penggunaan gas asli, menilai persaingan permintaan dalam sistem tenaga atau membuat keputusan yang tepat mengenai pertumbuhan pada masa depan," katanya.

Beliau turut mengesyorkan agar kelayakan kelestarian pusat data tidak dinilai hanya berdasarkan sijil tenaga boleh baharu (REC).

"Bahan api fosil masih dijangka menyumbang antara 88 hingga 92 peratus daripada campuran penjanaan elektrik Malaysia hingga 2029 walaupun kapasiti tenaga solar terus meningkat.

"Jika pengendali pusat data hanya bergantung pada REC untuk mendakwa operasi mereka mampan tanpa mengambil kira intensiti pelepasan karbon sebenar grid elektrik yang digunakan, gambaran yang diperoleh mungkin tidak lengkap," katanya.

 

PERCEPATKAN PENGURANGAN BAHAN API FOSIL

Pertubuhan alam sekitar RimbaWatch turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan karbon akibat perkembangan pesat industri pusat data di Malaysia.

Pengarahnya Adam Farhan berkata kebimbangan utama pertubuhan itu ialah kebergantungan negara yang berterusan terhadap bahan api fosil untuk menjana tenaga bagi industri yang menggunakan tenaga secara intensif.

"Ini kerana grid elektrik Malaysia masih sangat bergantung pada bahan api fosil.

"Walaupun kerajaan merancang menamatkan penggunaan loji jana kuasa arang batu menjelang 2044, kerajaan juga bercadang meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik berasaskan gas sebanyak 50 peratus bagi memenuhi permintaan daripada kemudahan yang menggunakan tenaga tinggi seperti pusat data.

"Malaysia perlu segera komited untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil secara adil dan pantas, khususnya ketika merancang pembangunan infrastruktur baharu," katanya.

pic-8

Antara cadangan RimbaWatch ialah menetapkan belanjawan karbon khusus untuk sektor pusat data, hanya meluluskan pembinaan pusat data baharu yang menggunakan TBB sepenuhnya, mengadakan rundingan awam secara telus bagi projek yang dicadangkan serta merangka strategi penggunaan air yang menyeluruh bagi menangani risiko berkaitan iklim dan sumber air.

Sasaran Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih masih boleh dicapai, namun para pakar bersetuju bahawa untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi digital dengan matlamat peralihan tenaga memerlukan perancangan yang teliti, kebertanggungjawaban karbon yang lebih kukuh serta pembangunan TBB yang lebih pantas pada tahun-tahun akan datang.