Rakyat Johor Perlu Pilih Pemimpin Bijak, Bersih Dan Tidak Sombong - PM Anwar
MUAR, 15 Jun (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Johor supaya memilih pemimpin yang berintegriti, bijak dan tidak sombong apabila diberi kuasa bagi memastikan kebajikan golongan miskin dan rakyat di peringkat akar umbi sentiasa terbela.
Beliau berkata pemilihan pemimpin merupakan faktor penting dalam menentukan masa depan sesebuah negeri, memandangkan terdapat pihak yang hanya memainkan sentimen perkauman untuk meraih sokongan tetapi gagal menunaikan tanggungjawab kepada rakyat selepas memegang jawatan.
"Politik ini kalau mahu berjaya, orang kena baca... kena dengar. Jangan guna sentimen benci-benci orang. Fikir apa mahu jadi kepada negara kita, anak kita, cucu kita, sekolah kita, hospital kita," kata beliau ketika berucap pada Ceramah Umum PH di sini malam ini.
Perdana Menteri berkata pemimpin yang dipilih rakyat tidak seharusnya bersikap angkuh selepas memenangi pilihan raya, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat terutama golongan yang memerlukan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata PH perlu mencatatkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bagi memastikan dasar dan polisi kerajaan negeri bergerak seiring dengan agenda pembangunan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata keselarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan segala urusan rundingan, penyaluran bantuan serta pengagihan limpahan ekonomi daripada projek mega dapat dinikmati rakyat di peringkat akar umbi.
"Sebab itu saya kata, PH mesti menang di Johor supaya kita boleh bawa perubahan di Johor. Projek besar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), itu kita (Kerajaan Persekutuan yang) runding... Pelabuhan Tanjung Pelepas (kita) besarkan.
"Saya tidak kata kerajaan Johor tidak tolong, dia tolong tetapi siapa buat? Kita buat. Projek jangan bimbang, saya jaga... saya mahu kerajaan negeri, wakil negeri, exco negeri, jaga rakyat di bawah," kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru pengundi termasuk yang berada di luar negeri agar pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN Johor 11 Julai ini demi masa depan negeri itu.
Beliau berkata setiap undi amat berharga dalam membawa perubahan dasar serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Pemindahan TERAJU Ke JPM Perluas Peluang Realisasikan Agenda PuTERA35 - Akmal Nasrullah
- Kadar Tambang ECRL Belum Diumum, Maklumat Tular Hanya Spekulasi - MRL
- Mangsa Banjir Di Perak Berkurang Kepada 71 Orang Pagi Ini
- Orang Ramai Diminta Berwaspada Terhadap SMS Palsu Baucar KitaSelangor
- Niaga Hadapan KLCI Dibuka Rendah