15/06/2026 03:10 PM

Program Semarak Subuh Jadi Platform Ilmu, Perkukuh Hubungan Masyarakat Johor

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 15 Jun (Bernama) – Program Semarak Subuh inisiatif kerajaan Johor bukan sahaja berjaya mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negeri, malah berkembang menjadi platform perkongsian ilmu, pembangunan sahsiah serta pengukuhan hubungan antara masyarakat dan pemimpin setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Muhajirin Bandar Putera Indah Azhaari Sarun berkata program itu membuka ruang lebih luas kepada pelbagai aktiviti yang mampu menarik penyertaan masyarakat, khususnya golongan muda.

Beliau berkata selain pengisian berbentuk keagamaan seperti kuliah dan ceramah, Program Semarak Subuh turut sesuai dijadikan medium perkongsian pandangan, pembangunan komuniti serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Ramai yang masih melihat institusi masjid dan surau hanya sebagai tempat beribadah semata-mata. Hakikatnya, ia boleh berfungsi sebagai pusat pembangunan sosial dan tempat masyarakat berkumpul untuk menimba ilmu serta bertukar-tukar pandangan.

“Melalui Semarak Subuh, pelbagai program boleh dianjurkan termasuk aktiviti yang membantu membentuk disiplin diri, pembangunan sahsiah dan program yang lebih dekat dengan golongan muda mengikut kesesuaian komuniti setempat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Program Semarak Subuh yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi merupakan antara inisiatif negeri yang menghimpunkan pimpinan kerajaan, pentadbiran daerah dan masyarakat setempat menerusi solat subuh berjemaah di masjid dan surau seluruh negeri.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Muhammad Syafiq Abdullah berkata program Semarak Subuh turut berfungsi sebagai jambatan yang merapatkan hubungan antara masyarakat dengan pemimpin di peringkat akar umbi.

Beliau berkata program berkenaan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pemimpin masyarakat dalam suasana santai dan tidak formal.

“Mungkin ada sesetengah penduduk yang jarang berpeluang bertemu pemimpin di kawasan mereka. Melalui program ini, kami dapat berjumpa secara terus dengan pengurusan masjid dan surau, ketua kampung, penghulu mahupun wakil rakyat.

“Suasana yang santai selepas solat Subuh membolehkan kami berkongsi pandangan, menyuarakan masalah dan mengemukakan cadangan secara terus. Ini secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai masyarakat hadir ke masjid dan surau,” katanya.

Muhammad Syafiq berkata program itu juga boleh dipelbagaikan dengan aktiviti bermanfaat seperti program kerohanian, kesihatan, pendidikan dan pembangunan diri yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Sementara itu penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani Datuk Mohamad Najib Samuri berkata  Semarak Subuh kini muncul sebagai antara inisiatif kerajaan negeri yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata peningkatan kehadiran jemaah sejak program itu diperkenalkan membuktikan keberkesanannya dalam mengembalikan peranan masjid dan surau sebagai pusat ilmu, dakwah serta penyatuan masyarakat.

“Program ini bukan sahaja menggalakkan kehadiran jemaah, malah menghidupkan semula fungsi institusi masjid dan surau sebagai tempat menuntut ilmu, bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan silaturahim dalam komuniti.

“Ia juga mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh syiar Islam serta membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu padu,” katanya.

Program Semarak Subuh yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya terus diperkasakan menerusi Belanjawan Johor 2026 dengan kekerapan penganjuran ditingkatkan daripada dua kepada tiga kali seminggu.

Di bawah Teras Pertama Belanjawan Johor 2026 iaitu Tadbir Urus Kerajaan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.92 juta bagi memastikan kelangsungan dan keberkesanan pelaksanaan program berkenaan sepanjang tahun.

-– BERNAMA