13/06/2026 03:45 PM

AMK Kenal Pasti Calon Bagi PRN Johor, Negeri Sembilan - Muhammad Kamil

IPOH, 13 Jun (Bernama) -- Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah mengenal pasti beberapa calon berpotensi untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, kata Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim.

Muhammad Kamil berkata beliau telah menghantar senarai nama berkenaan kepada jawatankuasa pemilihan calon untuk proses penilaian.

“Kita menyedari hakikat bahawa pada pilihan raya kali ini, kira-kira 50 hingga 55 peratus pengundi adalah mereka yang berumur 45 tahun ke bawah. Jadi, faktor ini penting sebagai pertimbangan dalam usaha mengukuhkan sokongan dan meyakinkan pengundi untuk bersama kita,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi 2026, di sini hari ini.

Muhammad Kamil berkata kriteria pemilihan calon muda tidak hanya tertumpu kepada faktor umur semata-mata, sebaliknya turut menilai tahap kelayakan, keupayaan serta kebolehan untuk mentadbir.

Pada masa yang sama, beliau berkata pihaknya telah mengarahkan jentera AMK seluruh negara untuk turun padang membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi kedua-dua PRN berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos depan.

-- BERNAMA