SPR Tetap Tarikh Mesyuarat Khas PRN Johor Selepas Terima Pemakluman Rasmi
KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor daripada Speaker Dewan negeri itu.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN berkenaan.
“SPR mengambil maklum sidang media oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengenai pembubaran Dewan Negeri Johor Ke-15 pada hari ini, 1 Jun 2026.
“Sehubungan dengan itu, SPR akan memaklumkan tarikh bagi mengadakan Mesyuarat Khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN Johor sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor berkaitan tarikh pembubaran Dewan Negeri Johor ini,” katanya.
Petang tadi, Onn Hafiz pada sidang media khas di kediaman rasmi beliau di Saujana di Johor Bahru mengumumkan DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN.
Beliau berkata pembubaran itu dilakukan selepas mendapat titah perkenan daripada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam satu majlis menghadap yang berlangsung hari ini.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Forensik Bomba Jejak Punca Kebakaran Di Kampung Gok Kapur Melalui Corak Kebakaran
- Warga Emas Rugi RM9 Juta Diperdaya Pelaburan Tidak Wujud Di Kuching
- Lebih 6,000 Anggota, Veteran ATM Dapat Manfaat Program Veteran MyWira
- Rezeki Kali Pertama, Remaja 17 Tahun Menang Motosikal Elektrik Di Fun Walk HAWANA 2026
- APMM Teruskan Operasi Carilamat Dua Nelayan Hilang Di Perairan Kemaman