02/06/2026 11:10 PM

Infaq Jumaat Johor Imarahkan Masjid, Bantu Golongan Kurang Berkemampuan

JOHOR BAHRU, 1 Jun (Bernama) -- Program Infaq Jumaat Johor yang diilhamkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail terus menjadi wadah penyatuan masyarakat menerusi penyediaan hidangan tengah hari percuma kepada semua rakyat Johor tanpa mengira kaum dan agama setiap minggu.

Dilaksanakan di masjid dan surau terpilih di seluruh negeri, inisiatif itu bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat, malah menghidupkan peranan institusi masjid sebagai pusat kebajikan dan perpaduan yang menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang. 

Jemaah Masjid Kampung Melayu Majidee Osman Nasir, 76, berkata program itu memberi manfaat nyata apabila sesiapa yang hadir ke pekarangan masjid dialu-alukan untuk menikmati hidangan yang disediakan.

“Program ini sangat bagus kerana tidak mengehadkan bantuan kepada umat Islam sahaja. Sesiapa yang lalu atau singgah, termasuk penduduk bukan Islam di sekitar kawasan ini, kita akan kongsi rezeki makan tengah hari. 

“Setiap minggu kita boleh lihat ramai yang datang, termasuk pelajar sekolah. Usaha ini jelas membuktikan masjid bukan sahaja tempat ibadat, malah pusat kebajikan yang menyantuni semua rakyat,” katanya kepada Bernama di sini.

Pelajar Tahfiz Maahad Al-Syatirie Johor Bahru Ibnu Azuri Abdul Rahim, 11, menyifatkan program itu sebagai ruang untuknya menikmati makan tengah hari dan mengukuhkan ukhuwah dengan rakan sebaya setiap minggu.

Bagi sukarelawan program Mohd Rodzi Kader, 55, inisiatif itu langkah proaktif mendekati masyarakat pelbagai latar belakang, terutamanya ketika mendepani trend kenaikan harga makan tengah hari di kedai.

“Sekurang-kurangnya pada Jumaat, sesiapa yang mengalami kesukaran atau ingin berjimat tidak perlu pening memikirkan belanja makan tengah hari. Hidangan ini percuma semuanya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di platform media sosial mendapati netizen turut memberikan reaksi positif dan memuji pendekatan inklusif diambil Kerajaan Negeri Johor.

Pengguna Facebook Muhammad Ibnu Shakur menerusi komennya pada hantaran berkaitan berkata inisiatif itu sangat bertepatan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW yang menganjurkan amalan memberi makan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang agama.

“Apabila bukan Islam turut datang ke masjid untuk mengambil makanan, ini peluang berdakwah melalui akhlak. Ini keindahan Islam, menyebarkan rahmah dan kebajikan kepada semua. Tahniah Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Johor kerana cakna tentang sunnah Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Tinjauan Bernama di Masjid Kampung Melayu Majidee mendapati pelbagai menu makan tengah hari dan sampingan disediakan percuma antaranya nasi lemak, nasi ayam masak merah, kuih seperti karipap dan samosa, buah, air balang serta air mineral.

Bagi tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM26.9 juta bagi pelaksanaan 26,900 program melibatkan 538 masjid dan surau di seluruh Johor. 

Pelaksanaan Program Infaq Jumaat sehingga suku pertama tahun ini telah merangkumi 5,660 masjid dan surau di seluruh Johor, membabitkan peruntukan berjumlah RM5.66 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.13 juta ialah sumbangan daripada institusi masjid dan surau terbabit, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pusat sehenti yang mengimbangi tuntutan ibadah dan kebajikan masyarakat setempat.

-- BERNAMA