PH Sedia Lawan Semua Kerusi DUN Di Johor, Negeri Sembilan Jika Dicabar BN - Anwar
JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) bersedia meletakkan calon di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan Negeri Sembilan sekiranya UMNO serta Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bertanding di semua kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak terkejut dengan perkembangan itu dan menegaskan gabungan tersebut akan memberikan jawapan yang tegas terhadap sebarang tindakan yang cuba meretakkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Hari ini PH mengambil keputusan untuk menjawab dengan tegas. Kalau inilah pilihan mereka (UMNO), PH akan bertanding di semua kawasan di negeri Johor, di Negeri Sembilan, semua kawasan. Dan kita pantau seluruhnya,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada kemuncak Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau turut membayangkan kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal sekiranya kemelut hubungan antara parti dalam kerajaan terus meruncing sehingga menggugat kestabilan politik.
“Kalau inilah cara kita memperkotak-katikkan dan meretakkan hubungan dalam kerajaan, apakah mungkin kita pilih untuk mengadakan Pilihan Raya Umum seluruh negara? Tapi biarlah kita putus bersama,” kata beliau.
Meskipun hubungan pimpinan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat masih dalam keadaan harmoni, Anwar berkata beliau akan memanggil pimpinan tertinggi PH dalam tempoh terdekat bagi membincangkan kesiapsiagaan jentera untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pintu rundingan masih terbuka sekiranya semua pihak mengutamakan kestabilan negara berbanding kepentingan politik sempit.
Semalam, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BN negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan keputusan untuk bertanding di kesemua kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Program PERDA Santuni Komuniti MADANI Bantu Penduduk, Libat Empat Lagi Lokasi
- Tangki Minyak Korea Selatan Kesembilan Berjaya Lalui Laut Merah
- Australia Kejutkan Turkiye 2-0 Hasil Taktik Bertahan Kemas, Serangan Balas Pantas
- Brazil 'Gementar' Dalam Perlawanan Pembukaan 'Sukar' - Ancelotti
- Rosmah Buat Laporan Polis, Nafi Dakwaan Fitnah Dalam Video Tular