Am 06/02/2026 08:29 PM

Johor Isytihar 'Perang' Terhadap Pengusaha Syarikat Cemar Alam Sekitar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Johor Isytihar 'Perang' Terhadap Pengusaha Syarikat Cemar Alam Sekitar
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Perlupusan Buangan Terjadual Negeri Johor di PTD 15829, Mukim Ulu Sungai Johor, Off Jalan Sg. Tiram hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd, Datuk Lukman Abu Bakar (empat, kanan), Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor (dua, kiri), Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, (tiga, kiri) dan Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman (empat, kiri). -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA TINGGI, 6 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan 'perang' terhadap pengusaha syarikat yang dikesan berterusan melakukan pencemaran alam sekitar.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata semua pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta mengambil tindakan serius dalam membantu kerajaan negeri membanteras isu berkenaan.

Beliau berkata rakyat akan menjadi mangsa apabila isu pencemaran berlaku seperti insiden pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab. . 

"Itu janji saya kepada mereka yang ingin mencabar kita di Johor," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Pelupusan Buangan Terjadual Negeri Johor (JISWH), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Datuk Lukman Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut menyasarkan sifar sungai tercemar menjelang  2030.

Beliau berkata usaha itu dilihat mampu dicapai menerusi pembinaan JISWH, iaitu pusat pelupusan buangan terjadual pertama yang dibina di negeri itu.

Sebanyak 14 sungai dikategorikan sebagai tercemar di Johor pada 2023 dan menurun kepada sembilan sungai pada tahun berikutnya.

"Tahun ini, difahamkan jumlah itu akan menurun kepada enam sungai. Justeru, saya yakin dengan usaha yang dibuat  (menerusi pembinaan JIWSH), menjelang 2030 kita mahu sifar sungai tercemar," katanya.

Onn Hafiz pada 2023 dilapor berkata kualiti air di 14 sungai di Johor dikategorikan sebagai paling tercemar, antaranya Sungai Kempas, Sungai Buluh, Sungai Tampoi dan Sungai Pandan.

-- BERNAMA